Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Sekatan DM mampu lindungi kanak-kanak di rumah siber
  • NASIONAL

Sekatan DM mampu lindungi kanak-kanak di rumah siber

Utusan Sarawak 4 hours ago
KAWALAN akaun bawah 16 tahun dilihat mampu kekang ancaman seksual siber terhadap kanak-kanak.

KUALA LUMPUR: Sekatan terhadap fungsi pesanan terus (DM) dan keupayaan carian profil bagi pengguna di bawah usia 16 tahun dilihat sebagai “benteng digital” paling ampuh bagi melumpuhkan ruang gerak pemangsa siber di negara ini.

Langkah itu disifatkan sebagai komponen kritikal dalam cadangan sistem pengesahan umur, terutama selepas pendedahan Ops Cyber Guardian oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menemukan hampir 500,000 fail bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM), bulan lepas.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata ciri keselamatan yang menyekat fungsi DM dan carian oleh akaun tidak dikenali merupakan mekanisme “penapis pintu masuk” atau gatekeeping yang mewujudkan sempadan digital jelas antara profil dewasa dan kanak-kanak.

“Melalui mekanisme ini, fungsi carian dan pesanan terus daripada akaun tidak dikenali dapat disekat secara automatik, sekali gus menghalang cubaan kontak terus (cold contact) oleh pemangsa sebelum sebarang perbualan sempat dimulakan,” katanya kepada Bernama.

Beliau menyifatkan penemuan dalam Ops Cyber Guardian itu sebagai isyarat bahawa keselamatan digital kanak-kanak berada pada tahap kritikal, sekali gus menjadikan langkah kerajaan menyekat akses kepada yang berumur 16 tahun ke bawah dan mewajibkan pengesahan umur sebagai satu anjakan paradigma mendesak.

Siraj berkata pelaksanaan mandatori itu juga mampu menghapuskan faktor anonimiti atau identiti tanpa nama yang selama ini menjadi perisai utama bagi pelaku jenayah seksual siber.

“Melalui keperluan dokumen rasmi atau biometrik, setiap akaun kini mempunyai akauntabiliti identiti dan jejak digital sah, yang berfungsi sebagai pencegah psikologi (deterrent) kerana risiko dikesan dan ditangkap meningkat mendadak,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pengesahan umur memaksa penyedia platform menyesuaikan algoritma dengan menyekat kandungan seksual, ganas atau berbahaya daripada dipaparkan kepada pengguna bawah umur.

Siraj berkata inisiatif itu juga mampu memperkukuh penguatkuasaan undang-undang sedia ada dengan menyediakan data sahih bagi membantu siasatan PDRM.

Pada masa sama, ia menutup kelonggaran teknikal berkaitan identiti palsu serta meletakkan tanggungjawab penelitian sewajarnya ke atas penyedia platform bagi memastikan ruang digital negara kekal selamat dan berintegriti.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Izuan Hafez Ninggal mengingatkan bahawa keberkesanan sistem itu bergantung sepenuhnya kepada kaedah pelaksanaan.

Beliau berkata mekanisme pengesahan sedia ada yang bersifat pengisytiharan kendiri atau self-declaration mudah dipalsukan oleh pengguna atau pemangsa yang menyamar kerana hanya perlu memasukkan tarikh lahir yang tidak benar serta memuat naik dokumen sokongan.

“Pemangsa lazimnya tidak bergantung kepada umur yang tertera, sebaliknya menggunakan komunikasi langsung untuk mendapatkan maklumat sebenar mangsa.

“Justeru, timbul isu apabila sekatan dikenakan kepada pengguna bawah 16 tahun, sedangkan pemangsa masih boleh beroperasi sebagai pengguna sah,” kata Mohd Izuan.

Mohd Izuan turut menekankan keperluan kerangka perundangan yang lebih jelas bagi memastikan syarikat platform bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kawalan algoritma dan integriti ruang digital mereka.

Pada 31 Mac lepas, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan meneruskan usaha mengehadkan pembukaan akaun media sosial baharu bagi kanak-kanak bawah 16 tahun dengan pelaksanaannya dijangka seawal pertengahan tahun ini.

Terdahulu, pada 7 Mac, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti pelbagai kaedah pengesahan umur sebelum pelaksanaan had usia 16 tahun bagi penggunaan media sosial.- Bernama

Continue Reading

Previous: Kaedah Siasatan Berasaskan Risikan jadi teras siasatan berimpak tinggi SPRM di bawah Azam Baki
Next: Jururawat kerjaya mulia, pengorbanan bernilai buat rakyat dan negara – PM Anwar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.