
KUCHING: Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen mengucapkan tahniah kepada Larry Asap atas pelantikannya sebagai Ahli Dewan Negara dan Senator Dayak pertama mewakili Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Dalam satu kenyataan hari ini, Dr Kelvin Yii berkata beliau berbesar hati menyaksikan majlis angkat sumpah di Dewan Negara melibatkan Larry bersama tiga lagi Senator baharu DAP yang terdiri daripada wakil Melayu, Cina dan India.
Menurut beliau, pelantikan tersebut mencerminkan kepercayaan kukuh DAP terhadap prinsip kepelbagaian dan masyarakat majmuk sebagai kekuatan negara.
“Larry merupakan seorang yang berani, rendah diri dan penuh idea. Sebagai anak Iban yang menghayati semangat ‘Agik Idup Agik Ngelaban’, beliau telah berjuang tanpa mengenal penat lelah untuk rakyat Sarawak melalui DAP sejak 12 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata Larry juga kekal komited dalam perjuangan untuk Sarawak yang lebih baik serta Malaysia yang adil untuk semua rakyat.
Menurutnya, amanah yang diberikan kepada Larry bukan sekadar satu gelaran, sebaliknya tanggungjawab untuk menjadi suara rakyat dan membawa isu serta kebimbangan mereka di Dewan Negara.
“Sekali lagi, tahniah kepada Senator Larry Asap,” katanya.
Dalam pada itu, Pembantu khas kepada Ahli Parlimen Kuching, George Lam turut mengucapkan tahniah kepada Larry atas pelantikannya sebagai Senator Dayak pertama sambil menyifatkannya sebagai detik bersejarah buat DAP Sarawak dan masyarakat pribumi di negeri ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada bekas Senator Roderick Wong atas khidmatnya sepanjang tiga tahun di Dewan Negara.
Menurut Lam, pelantikan Larry sebagai Senator Dayak pertama daripada DAP Sarawak mencerminkan komitmen parti itu dalam memperkasa masyarakat pribumi melalui penglibatan dalam institusi legislatif negara.
Katanya, suara masyarakat luar bandar dan peribumi Sarawak wajar dibawa ke peringkat nasional bagi memastikan dasar yang lebih inklusif dan menyeluruh.
Oleh Connie Chieng