
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melantik Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu berkuat kuasa 20 Mei 2026.
Dalam kenyataan hari ini, KWAP memaklumkan pelantikan Jay Khairil itu adalah bagi menggantikan CEO, Datuk Nik Amlizan Mohamed yang menerajui organisasi itu sejak 2020.
Dana persaraan itu turut merakamkan penghargaan atas kepimpinan, khidmat dan sumbangan beliau terhadap kejayaan berterusan KWAP sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Sementara itu, KWAP berkata Jay Khairil akan menerajui hala tuju strategik, operasi dan keutamaan institusi organisasi itu, di samping memperkukuh mandatnya sebagai dana pencen sektor awam Malaysia menerusi pelaburan yang berdisiplin, tadbir urus kukuh dan pengawasan institusi jangka panjang.
Beliau juga mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam sektor perbankan dan perkhidmatan kewangan, dengan kepakaran luas dalam pengurusan kewangan, tadbir urus, audit dalaman, pengurusan risiko serta transformasi institusi.
Sebelum menyertai KWAP, Jay Khairil merupakan Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional (BSN), yang menyaksikan beliau menerajui transformasi bank itu merangkumi prestasi kewangan, perbankan digital, daya tahan operasi dan keterangkuman kewangan, selain memenuhi mandat pembangunan bagi menyediakan perkhidmatan kepada komuniti di seluruh Malaysia.
Beliau juga pernah menyandang jawatan Ketua Pegawai Kewangan dan Ketua Audit Dalaman BSN, selain memegang beberapa jawatan kanan di CIMB Group, Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (Malaysia) dan Bank Negara Malaysia.
Jay Khairil ialah seorang jurubank bertauliah, akauntan pengurusan global bertauliah serta juruaudit perkhidmatan kewangan bertauliah. Beliau juga merupakan ahli Institut Akauntan Malaysia dan Chartered Institute of Management Accountants, selain ahli bertauliah Institute of Internal Auditors Malaysia.- Bernama