
BINTULU: Kelab Sukan dan Rekreasi Binda (KSR Binda) dengan kerjasama Pusat Darah Hospital Bintulu akan menganjurkan Kempen Derma Darah pada 14 Mei ini di lobi Wisma BDA, dari 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Kempen tersebut diadakan bagi membantu menambah bekalan darah Hospital Bintulu selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendermaan darah secara berkala.
Menurut kenyataan KSR Binda, orang ramai khususnya golongan belia dan individu yang sihat digalakkan tampil menyertai kempen berkenaan kerana bekalan darah sentiasa diperlukan bagi kegunaan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan, pembedahan serta pemindahan darah.
“Setiap sumbangan kecil daripada anda memberi sinar kehidupan kepada insan lain,” menurut kenyataan itu.
Pihak penganjur turut berharap lebih ramai masyarakat mengambil peluang menyertai program tersebut sebagai salah satu bentuk sumbangan kemasyarakatan yang mampu membantu menyelamatkan nyawa.
Selain membantu menambah stok darah, kempen itu juga bertujuan memupuk semangat sukarelawan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat terhadap keperluan pesakit di hospital.
Setiap penderma akan menerima hadiah saguhati sebagai tanda penghargaan atas penyertaan mereka.
Orang ramai yang sihat dan memenuhi syarat pendermaan darah disaran hadir bagi bersama-sama menyokong usaha memastikan bekalan darah Hospital Bintulu sentiasa mencukupi.
Oleh Faizah Muzidi