

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak digesa terus memperkukuh pembangunan luar bandar termasuk memperluas akses internet berkualiti, meningkatkan jaringan jalan raya strategik serta memperkasa ekonomi rakyat bagi mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembangunan infrastruktur yang sedang giat dilaksanakan mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat khususnya di kawasan pedalaman.
Menurut beliau, projek seperti Jalan Pesisir, Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) serta jaringan jalan ke Brunei mampu meningkatkan kesalinghubungan, memendekkan masa perjalanan dan merangsang pembangunan ekonomi setempat.
“Dalam hubungan ini, kemudahan perniagaan termasuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta tapak perniagaan di laluan-laluan tersebut perlu disediakan.
“Kerajaan juga perlu memberi latihan keusahawanan dan bantuan kewangan kepada mereka yang berminat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Pertama bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.
Tun Wan Junaidi berkata, pembangunan keusahawanan luar bandar, industri kecil dan sederhana serta ekonomi digital juga perlu terus diperkukuh bagi membantu meningkatkan pendapatan rakyat.
Katanya, kerajaan turut digesa membantu pemasaran produk kampung menerusi pewujudan pusat pengumpulan, pengedaran dan pemprosesan selain menyediakan ruang niaga strategik.
Pada masa sama, beliau berkata sektor agro pelancongan dan eko pelancongan berasaskan budaya serta khazanah alam semula jadi Sarawak mempunyai potensi besar untuk terus dibangunkan.
Menurut beliau, program promosi di peringkat nasional dan antarabangsa perlu diperluas selain menyediakan latihan kepada pengusaha homestay dan pemandu pelancong tempatan.
Dalam sektor pertanian pula, beliau berkata usaha pemodenan perlu dipergiat menerusi penggunaan teknologi pintar termasuk automasi, fertigasi dan dron pertanian bagi meningkatkan daya saing hasil tani.
“Penggunaan teknologi pertanian pintar dan pembangunan pusat pengumpulan serta pemasaran penting supaya hasil tani dapat dipasarkan dengan lebih luas dan cepat,” katanya.
Tun Wan Junaidi turut menegaskan bahawa akses internet dan kemudahan komunikasi berkualiti serta mampu milik perlu terus diperluaskan supaya rakyat luar bandar tidak tercicir daripada arus pendidikan dan ekonomi digital.
“Kerajaan juga perlu terus memberi perhatian terhadap isu kos sara hidup di kawasan luar bandar supaya jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar tidak begitu ketara,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat