
SELAMA: Berpegang pada prinsip keuntungan bukan segala-galanya, pembekal nasi lemak Othman Che Mat mengekalkan harga 50 sen sebungkus walaupun dihambat kenaikan kos bahan mentah yang memaksa rata-rata peniaga makanan menaikkan harga jualan.
Membekalkan nasi lemak kepada Warung Lejen di Sungai Bayor, sebuah pekan kecil di sini, Othman, 72, berkata keutamaannya ialah memastikan masyarakat kampung kekal mampu menikmati hidangan tersebut.
Berkongsi kisahnya dengan Bernama ketika ditemui baru-baru ini, dia berkata ketika mula-mula berniaga kira-kira 30 tahun lalu, harga nasi lemaknya cuma 30 sen sebungkus sebelum dinaikkan ke 50 sen yang kekal hingga sekarang.
“Orang selalu tanya kenapa masih jual 50 sen, ada untung ke? Saya cuma senyum, sebab memang kalau ikut kiraan, untungnya tidak sebanyak mana,” katanya.
Realitinya, jelas Othman, 50 sen itu harga yang dijual oleh warung tersebut dengan 10 sen diambil sebagai komisen oleh pemilik, menjadikan harga “sebenar” yang dia jual cuma 40 sen setiap bungkus dengan keuntungan bersih pula hanya sekitar RM15 hingga RM20 sehari.

“Alhamdulillah, saya bersukur kerana masih mampu bertahan,” katanya yang menyediakan kira-kira 300 bungkus nasi lemak setiap hari kecuali pada hujung minggu yang menyaksikan dia dan isteri menyiapkan sekitar 500 bungkus, bergantung pada permintaan.
Bercerita lanjut, Othman berkata rutin dia dan isteri bermula seawal 3.00 pagi, dengan memasak nasi, menyediakan sambal dan membungkus nasi lemak sebelum dihantar ke warung selepas solat subuh.
“Pelanggan akan mula tiba selepas solat subuh untuk bersarapan, jadi semuanya perlu siap awal,” jelasnya, dan mendedahkan antara rahsia nasi lemaknya terus mendapat sambutan ialah kualiti kerana nasinya tidak mudah basi dengan sambal pula dimasak selama tujuh jam.
Setiap bungkus nasi lemaknya mengandungi sambal, lauk ikan bilis dan potongan satu perempat telur rebus, yang disifatkan oleh pemilik Warung Lejen, Ghazali Muda, 67, sangat berbaloi berbanding harga.
“Warung ini dikunjungi oleh penduduk setempat dengan ada antaranya bekerja di ladang, penoreh getah selain warga emas dan pelajar sekolah. Jadi, nasi lemak 50 sen ini amat besar maknanya buat mereka,” katanya.

Bagi pelanggan tetap, Tanzizi Abd Aziz, 62, harga murah bukan satu-satunya sebab dia ‘setia’ dengan warung tersebut, tetapi juga kerana rasa nasi lemak asli yang kian sukar ditemukan.
“Sekarang susah nak jumpa makanan murah macam ini, dan walaupun murah, rasa nasi lemak dia tetap sedap dan berkualiti,” katanya, menambah penduduk bersyukur dengan kewujudan warung yang menjual sarapan pada harga murah ketika masyarakat dihimpit kos sara hidup.
“Warung ini bukan sekadar warung biasa, ia sudah jadi identiti Sungai Bayor,” katanya.
Warung yang diusahakan Ghazali sejak 36 tahun lalu itu dikenali bukan sahaja dalam kalangan penduduk sekitar Selama, tetapi juga pengunjung luar yang singgah untuk merasai sendiri nasi lemak berkenaan.
Selain nasi lemak 50 sen, warung itu turut menawarkan pelbagai hidangan tradisional lain termasuk kuih-muih gaya kampung dan minuman panas. – Bernama