KUALA LUMPUR: Video-video yang tular di aplikasi TikTok telah membantu
meningkatkan kembali permintaan terhadap produk krim kulit yang berusia puluhan tahun, disifatkan sebagai ejen penghapus jerawat terbaik di Malaysia, tatkala situasi perniagaan yang tertekan ketika era pandemik ketika ini.
Nisolab, yang memiliki hak pelesenan produk Nixoderm di Malaysia dan Singapura menyedari jualan krim jerawat itu meningkat sebanyak 30 hingga 40 peratus di platform peruncit pada Disember.
Pertumbuhan jualan di gedung dalam taliannya di platform membeli belah Shopee juga meningkat berganda.
Pengarah Urusan Prima Group, yang memiliki Nisolab,Tan Sri M. Ariffin Yusuf,memberi tahu Bernama peningkatan jualan itu telah mengejutkan syarikat tersebut.
“Pada mulanya kami tidak mengetahui mengapa jualan melonjak secara tiba-tiba, tahu-tahu sajalah..ekonomi tidak begitu baik (pada masa ini).
Untuk beberapa waktu, jualan kurang memberangsangkan.Tetapi secara tiba-tiba, jualan meningkat – sesuatu yang tidak normal. Jadi saya mula bertanya kepada pengedar saya, ‘bolehkan anda tolong tengokkan? kerana
biasanya orang daripada zaman saya tidak melihat TikTok dan sebagainya,”katanya.
Ariffin berkata, apabila kakitangannya mendapat tahu mengenai video yang tular di aplikasi video sosial TikTok itu, beliau kagum bagaimana mudahnya ia mempengaruhi jualan syarikat.
Menurutnya, syarikat itu tidak tahu siapakah pemilik akaun TikTok berkenaan,tetapi ingin menjejaki mereka agar Nisolab boleh memberi sedikit ganjaran barangan percuma kepada mereka.
Trend itu bermula dengan satu video yang dihasilkan oleh Amir Aqram Azizi di akaun TikTok miliknya @thedancedoc pada 16 Disember tahun lepas, menjelaskan bagaimana untuk menggunakan krim Nixoderm untuk menghapuskan jerawat.
Video tersebut mendapat lebih 208,100 tontonan dengan hampir 14,000 butang suka.Video-video lain menyusul kemudiannya,mendapat lebih setengah juta tontonan dan hampir 48,000 butang suka, mendokumentasikan bagaimana cara-cara mendapatkan wajah tanpa cela.
“Disebabkan semalam dok viral benda ni aku ponpla watson (disebabkan benda ini tular semalam, akupun pergi la ke Watson),” kata pengguna dengan akaun @Firdaus, dengan video menunjukkan beliau menuju ke farmasi untuk membeli krim tersebut.
Kakitangan jualan di farmasi mengesahkan mereka menyedari peningkatan jualan krim itu sejak Disember.
Nazelynakmar Kamaruddin,ibu kepada dua orang anak dan penonton tegar TikTok berkata, beliau sudah lama mengetahui tentang krim tersebut tetapi tidak pernah mencubanya sebelum ini.
“Baru sekarang saya mencubanya selepas menonton video di TikTok,” katanya.
Dalam hal ini, Nixoderm telah secara tidak sengaja mencapai matlamat utama pemasaran media sosial,mempunyai produk menjadi tular.
Dr Suhaimee Saahar,yang mengajar pamasaran digital dan media sosial di Universiti Teknologi MARA berkata, banyak syarikat berusaha untuk menularkan produk di media sosial tetapi hanya segelintir yang berjaya.
“Ia adalah impian yang menjadi kenyataan bagi mana-mana syarikat apabila pengguna dan pengikut menghasilkan kandungan secara percuma dan orang lain turut mengikutnya,”katanya.
Menurutnya, lebih banyak syarikat sepatutnya memasukkan aplikasi TikTok ke dalam kempen pemasaran digital mereka selain yang biasa seperti Facebook,Instagram dan Twitter, dengan menyatakan, “Jika anda mahu menarik perhatian generasi lebih muda, TikTok perlu menjadi sebahagian daripada strategi pemasaran anda.”- Bernama