Leandro Trossard meraikan jaringan kemenangan Arsenal ketika menentang West Ham United dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium London. — Foto AFP
LONDON: Arsenal semakin menghampiri kejuaraan Liga Perdana selepas menang dramatik 1-0 ke atas West Ham United dalam aksi penuh kontroversi di Stadium London awal pagi ini.
Skuad kendalian Mikel Arteta bergelut menembusi benteng West Ham sebelum Leandro Trossard meledak gol kemenangan menerusi rembatan terkena pemain lawan pada minit ke-83.
Namun, detik paling mencuri tumpuan hadir pada masa kecederaan apabila gol penyamaan Callum Wilson dibatalkan selepas semakan VAR mendapati Pablo mengasari penjaga gol Arsenal, David Raya, sebelum bola muntah disambar masuk.
Pablo dilihat meletakkan tangan di dada Raya, namun sentuhan itu dianggap minimum dengan West Ham turut mendakwa berlaku kekasaran oleh Declan Ricedan Trossard dalam situasi sama.
Pengadil Chris Kavanagh bersama pegawai VAR mengambil masa agak lama sebelum membatalkan jaringan tersebut, sekali gus mencetuskan sorakan marah penyokong tuan rumah, manakala Arteta jelas lega di tepi padang.
Arsenal kini mendahului lima mata di depan Manchester City yang sebelum itu menewaskan Brentford 3-0.
City masih berpeluang merapatkan jurang kepada dua mata jika menewaskan Crystal Palace pada aksi tunggakan pada awal pagi Khamis ini.
The Gunners bagaimanapun hanya memerlukan dua lagi kemenangan ke atas Burnley dan Crystal Palace untuk mengesahkan kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh 22 tahun.
Arsenal turut mara ke final Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2006 selepas menyingkirkan Atletico Madrid dan bakal menentang Paris Saint-Germain di Budapest pada 30 Mei.
Jika berjaya merangkul kedua-dua trofi, ia bakal menjadi musim terbaik dalam sejarah 139 tahun kelab itu.- AFP