
MIRI: Sempena sambutan Hari Ibu hari ini, ramai yang mengambil peluang menjual bunga di tepi jalan sekitar bandar raya ini bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mencari hadiah istimewa buat insan tersayang.
Antara yang tidak melepaskan peluang tersebut ialah Rose Ibau, 51, yang menjual pelbagai jenis jambangan bunga di tepi Jalan Lambir di sini.
Rose, berkata sambutan Hari Ibu memberi peluang terbaik untuk meningkatkan jualan kerana ramai pelanggan mencari hadiah istimewa buat ibu tersayang.
“Selain menjual bunga segar seperti bunga kekwa saya turut menghasilkan sendiri jambangan bunga palsu yang mendapat sambutan kerana tahan lama serta mempunyai nilai kreativiti tersendiri,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.
Tinjauan di sekitar Miri mendapati beberapa lokasi utama dipenuhi penjual bunga sementara yang menawarkan pelbagai pilihan jambangan dengan harga berpatutan.
Hari Ibu bukan sahaja diraikan sebagai penghormatan kepada jasa dan pengorbanan seorang ibu, malah turut menjadi sumber rezeki tambahan kepada peniaga kecil tempatan.
Oleh Liong Chai Ling