Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak perkukuh keselamatan makanan negeri
  • TEMPATAN

RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak perkukuh keselamatan makanan negeri

Utusan Sarawak 8 hours ago
PEMBANGUNAN kawasan penanaman padi akan dilaksanakan di tanah kerajaan yang telah dikenal pasti bagi mengelakkan pertikaian pemilikan tanah sehingga menjejaskan pelaksanaan projek.

PETRA JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 yang akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mulai Isnin ini bertujuan mewujudkan sebuah badan berkuasa pusat bagi menyelaras, membangunkan dan memperkukuh industri padi serta beras di negeri ini.

Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, RUU tersebut akan memberi kuasa kepada Sarawak untuk menggubal undang-undang berkaitan pembangunan industri padi dan beras demi menjamin keselamatan makanan negeri.

Katanya, lembaga itu nanti akan berfungsi sebagai badan berkanun yang mempunyai kuasa mengawal selia aktiviti berkaitan padi dan beras di Sarawak.

“RUU ini bertujuan menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Sarawak sebagai pihak berkuasa pusat untuk menyelaras, membangun dan memperkukuhkan industri padi dan beras dalam negeri.

“Sarawak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan pertanian dan penubuhan lembaga ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) di Ibu Pejabat PBB, di sini, hari ini. 

Beliau berkata, pembangunan kawasan penanaman padi akan dilaksanakan di tanah kerajaan yang telah dikenal pasti bagi mengelakkan pertikaian pemilikan tanah sehingga menjejaskan pelaksanaan projek.

Katanya, terdapat tujuh kawasan tanah kerajaan yang telah diluluskan sebagai kawasan pembangunan padi di bawah RUU berkenaan.

“Tanah yang dibangunkan untuk penanaman padi akan dijadikan kawasan khas di atas tanah kerajaan supaya tidak timbul pertikaian pemilikan yang boleh menyebabkan projek gagal dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, RUU itu turut merangkumi takrifan lengkap berkaitan padi dan beras termasuk produk berasaskan kedua-duanya selain memperincikan fungsi, kuasa dan pentadbiran lembaga tersebut.

Antara kandungan utama RUU berkenaan termasuk penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak, kuasa mengawal selia aktiviti padi dan beras, penubuhan jawatankuasa, pelantikan pengurus besar serta peruntukan kewangan dan dana pembangunan kawasan padi.

RUU tersebut akan dibentangkan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom pada Selasa, 12 Mei ini melibatkan bacaan pertama, kedua dan ketiga.

Dalam perkembangan berkaitan, Asfia berkata sidang DUN Sarawak akan berlangsung selama lapan hari bermula Isnin ini, 11 hingga 20 Mei depan dengan empat RUU akan dibentangkan sepanjang persidangan tersebut.

Antaranya ialah RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026, RUU Perbekalan Tambahan (2026) 2026 dan RUU Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 dan RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak. 

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Empat RUU akan dibentangkan pada sidang DUN mulai Isnin ini
Next: PBB Sarawak anjur konvensyen empat zon perkukuh jentera akar umbi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.