MUKAH: Meningkatkan ekonomi melalui sektor pelancongan tempatan adalah salah satu inisiatif yang boleh membantu rakyat dalam menangani cabaran semasa pandemik ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak),Dato Hanifah Hajar Taib berkata, dalam fasa pemulihan ini, semua pihak telah berusaha merancakkan semula ekonomi secara berperingkat.
“Banyak kementerian dan agensi merangka langkah strategik untuk meningkatkan ekonomi. Salah satu contoh adalah meningkatkan ekonomi melalui sektor pelancongan tempatan,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Mukah Gemilang yang diadakan di Kingwood Resort Mukah pada Selasa lalu (5 Januari).
Justeru, tambah beliau,masyarakat perlu memikirkan inisiatif untuk mengetengahkan kawasan yang berpotensi untuk dijadikan tempat pelancongan yang boleh ditawarkan di Bahagian Mukah ini.
“Kita meuar-uarkannya kepada masyarakat luar sana apa yang kita tawarkan dan boleh membantu masyarakat melaksanakan aktiviti riadah seterusnya meningkatkan ekonomi setempat. Dan salah satu usaha yang kita telah laksanakan ialah memperindahkan Tapak Kala Dana dengan mural yang menarik untuk pengunjung bertandang ke tapak yang terkenal
dengan Festa Kaul itu,” katanya lagi.
Selain itu, katanya, pihak mereka bersama pihak Divisional Tourism Task
Group (DTTG) dan rakan strategik juga sedang berusaha untuk mengenalpasti kawasan yang berpotensi untuk pelancongan di bahagian ini.
Berkisar mengenai pandemik yang melanda seluruh dunia sekarang,beliau amat menghargai usaha semua pihak terutama`front liners’ yang berusaha
memastikan penularan Covid-19 terkawal di Mukah ini.
“Situasi ini amat mencabar bagi setiap warga individu,dan terlalu ramai yang terkesan tidak kiralah sama ada dari segi pekerjaan,kesihatan, sosial,
sosioekonomi, pendidikan,dan lain-lain. Perjalanan ini adalah satu perjalanan yang kita semua baru lalui bersama dan saya berasa amat terharu dengan usaha, semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak,” kata beliau lagi.
Hanifah yang juga merupakan Ahli Parlimen Mukah, berharap situasi yang sukar ini tidak sesekali melunturkan semangat agensi kerajaan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka atau rakyat.
“Saya percaya, perkhidmatan yang diberikan oleh pihak tuan puan adalah
pada tahap terbaik, namun sentiasa ada ruang dan peluang untuk kita menambah baik semua usaha murni kita.
Dalam kita berusaha melaksanakan tugas dan tanggungjawab, kita juga perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan agar kita dapat sama-sama menjaga diri, keluarga dan masyarakat setempat daripada penularan wabak ini,” kata Hanifah.
Beliau bersyukur kerana di negeri ini keadaannya terkawal dan berharap rakyat dapat menjaganya dengan lebih baik dan semua peringkat masyarakat perlu sentiasa beringat untuk mengamalkan norma baharu
dan amalan gaya hidup sihat.
Pada majlis tersebut,Hanifah juga menyampaikan geran kepada agensi yang tertentu dan cenderamata kepada ketua jabatan yang bersara dan berpindah.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo,
Residen Bahagian Mukah Hamdiah Bakir , wakili ADUN Balingian, Che Ghazali Arbi, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri,Abu Seman Jahwie, ketua jabatan, ketua masyarakat dan ketua kaum.
Oleh HENRY B SIYU