KUCHING: Durian lebih dikenali dengan ‘raja buah’sudah mula memasuki pasaran Kuching sejak beberapa hari lalu.
Setiap kali tibanya musim durian, pasti masyarakat akan ‘hilang arah’ apabila mencium baunya apatah lagi melihat berlonggok-longgok durian dijual di pasar mahupun di tepi jalan.
Bagi penggemar durian atau sinonimnya ‘hantu durian’, pasti mereka berasa teruja dan tidak sabar untuk menikmati keenakan isi durian yang lemak dan lembut itu.
Peniaga durian, Juliana Hamdan, 49, berkata, durian kampung yang dijualnya mendapat sambutan daripada warga Kuching dan sekitarnya sehingga ada di antara mereka pulang dengan tangan yang kosong kerana stok durian telah habis.
“Hal ini kerana hanya beliau seorang sahaja yang sudah mula menjual durian ini di pasaran,” katanya.
Menurutnya, beliau yang baru-baru berjinak dalam perniagaan durian, mengambil buah tersebut daripada pembekal yang berada di Sri Aman dan
menjual semula di depan rumahnya pada harga sekitar RM30 sekilogram dan juga turut dijual RM35,RM40 dan RM45 setompok.
“Warga Kuching sanggup datang ke rumah saya untuk membeli durian ini.
Ada yang sanggup menunggu saya sejam awal sebelum perniagaan dibuka,” tambahnya.
“Malah, durian yang baharu datang dibawa menggunakan lori itu tidak
sempat disusun tapi sudah dipilih dan dibeli oleh pembeli,”jelasnya.
“Saya berterima kasih atas sambutan yang cukup menggalakkan daripada para pembeli yang datang,”ujarnya.
Oleh ‘AINI ‘AFIFAH HAFIZ