Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • SRC bantah permohonan Najib untuk tangguh pelaksanaan penghakiman kes saman AS$1.3 bilion
  • MAHKAMAH

SRC bantah permohonan Najib untuk tangguh pelaksanaan penghakiman kes saman AS$1.3 bilion

Utusan Sarawak 8 hours ago
DATUK Seri Najib Tun Razak. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: SRC International Sdn Bhd membantah permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa beliau bertanggungjawab atas kerugian syarikat itu berjumlah AS$1.3 bilion sementara menunggu rayuan.

Peguam SRC P. Gananathan berhujah semua individu adalah sama di sisi undang-undang dan kedudukan atau peranan peribadi Najib tidak mengubah pertimbangan dalam kes itu.

Beliau juga berkata hujah mengenai kebimbangan bekas Perdana Menteri itu berhubung kehilangan reputasi dan pelaksanaan penghakiman tersebut akan menjejaskan integriti peribadinya sebagai tokoh yang sudah lama dikenali adalah tidak relevan sama sekali.

“Status Najib sebagai seorang tokoh terkenal tidak memberikan beliau hak untuk memperoleh penangguhan pelaksanaan penghakiman… dan ia juga tidak menjadikan kesan biasa sesuatu penghakiman sebagai keadaan yang istimewa,” katanya.

Gananathan berkata demikian ketika berhujah pada prosiding pendengaran permohonan bagi menangguhkan pelaksanaan penghakiman itu yang berlangsung secara persidangan video hari ini membabitkan saman sivil SRC berjumlah AS$1.18 bilion terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas.

Gananathan juga berhujah bahawa walaupun penghakiman monetari yang diberikan memihak kepada SRC melibatkan jumlah yang besar, perkara itu semata-mata tidak mencukupi untuk mewajarkan campur tangan mahkamah atas alasan rayuan berkenaan akan menjadi sia-sia.

“Jika tidak, setiap kali mahkamah membuat perintah membabitkan monetari yang besar, defendan akan secara automatik berhak memperoleh penangguhan pelaksanaan penghakiman itu, dan ini bercanggah dengan prinsip umum bahawa sesuatu rayuan tidak berfungsi sebagai penangguhan pelaksanaan di bawah Seksyen 73 Akta Mahkamah Kehakiman,” katanya.

Beliau turut menyangkal hujah Najib bahawa SRC, yang telah digulung pada 19 Januari lepas dan kini dalam proses likuidasi, berkemungkinan tidak dapat membayar semula jumlah monetari yang besar sekiranya rayuan bekas Perdana Menteri itu berjaya.

Peguam itu menyifatkan dakwaan tersebut sebagai berbentuk spekulatif dan tidak realistik kerana perintah penggulungan tersebut mengarahkan supaya semua wang yang diterima pelikuidasi dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Kumpulan SRC.

“Sehubungan itu, sebarang jumlah yang berjaya diperoleh melalui pelaksanaan penghakiman akan dipegang dan diuruskan oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) sekali gus bermaksud ia dipegang oleh kerajaan bagi manfaat plaintif.

“Pelikuidasi, selaras dengan tanggungjawab pemulihan dan kuasa yang diberikan kepadanya dalam proses likuidasi di bawah Akta Syarikat, turut tertakluk kepada obligasi restitusi yang sama.

“Bezanya, pelikuidasi sebagai pegawai mahkamah dan tertakluk kepada mahkamah, mempunyai kewajipan memastikan wang yang dipegang secara amanah itu dipulangkan sekiranya rayuan berjaya,” katanya.

Terdahulu, peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata SRC telah digulung secara rasmi dan kini di bawah kawalan pelikuidasi, justeru sukar bagi syarikat itu untuk memulangkan jumlah berkenaan kepada Najib sekiranya rayuan beliau berjaya.

“Sekiranya Datuk Seri Najib dipaksa melunaskan penghakiman bernilai berbilion ringgit ini sekarang, dana itu akan diserap ke dalam proses penggulungan syarikat untuk diagihkan kepada pelbagai pemiutang dan kos pentadbiran.

“Keadaan ini mewujudkan risiko nyata dan semasa bahawa walaupun rayuan berjaya, SRC secara struktur tidak lagi berupaya membuat restitusi.

“Antara keadaan yang boleh dianggap sebagai istimewa untuk mahkamah memberikan penangguhan pelaksanaan penghakiman ialah apabila terdapat bukti menunjukkan SRC tidak solven atau berada dalam kedudukan yang sukar untuk membayar balik sekiranya rayuan Datuk Seri Najib berjaya,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menetapkan 13 Mei untuk memutuskan permohonan itu.

Pada 31 Mac lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib bertanggungjawab terhadap kerugian AS$1.3 bilion yang dialami SRC International Sdn Bhd selepas didapati melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kedudukan serta menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin membuat keputusan itu selepas membenarkan saman sivil difailkan SRC International berjumlah AS$1.18 bilion dan mengarahkan Najib membayar jumlah berkenaan, selain AS$120 juta yang diterimanya daripada syarikat terbabit ke dalam akaun AmPrivate Banking dengan nombor berakhir 964 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan AS$1.3 bilion.

SRC memulakan saman pada Mei 2021, mendakwa Najib telah melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

SRC menamakan Najib serta enam bekas bekas pengarahnya Datuk Suboh Md Yassin, Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Che Abdullah@Eashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan.

Bagaimanapun, kemudian, SRC mengeluarkan enam nama daripada saman tersebut dan mengekalkan Najib serta Nik Faisal sebagai defendan pertama dan kedua. Pada 2021, satu penghakiman ingkar telah dibuat terhadap Nik Faisal, menjadikan Najib sebagai satu-satunya defendan. Najib kemudiannya menamakan bekas pengarah SRC sebagai responden pihak ketiga.

SRC menuntut ganti rugi, faedah, kos dan deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab terhadap kerugian syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanahnya, dan menuntut Najib membayar balik kerugian AS$1.18 bilion yang dialaminya.

Ia juga menuntut AS$120 juta dan AS$2 juta masing-masing daripada Najib dan Nik Faisal, atas pelanggaran tugas dan pecah amanah.- Bernama

Continue Reading

Previous: Pengarah syarikat didakwa 11 pertuduhan penipuan tanah, ubah wang haram

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.