
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan pekeliling berkaitan garis panduan tempoh had waktu bekerja bagi pegawai perubatan siswazah (PPS) dalam masa terdekat.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu dilaksanakan susulan laporan Malaysian Medics International (MMI) yang mendakwa PPS di negara ini bekerja antara 65 hingga 85 jam seminggu.
“Pekeliling garis panduan yang baharu akan dikeluarkan untuk memperkukuh hal yang terkait dengan waktu bekerja PPS dan perkara ini dalam perhatian Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian CRM (Penyelidikan Klinikal Malaysia) Trial Connect Conference 2026, di sini, hari ini.
Beliau berkata pekeliling baharu itu diharap dapat menambah baik urus tadbir waktu bekerja fleksibel yang sedia ada mengikut peraturan ditetapkan di fasiliti kesihatan negara ini.
Sementara itu, Dzulkefly berkata Majlis Perubatan Malaysia (MPM) akan meneliti perubahan dasar susulan pelaksanaan Akta Latihan Perubatan (Keutamaan) 2026 oleh United Kingdom (UK) yang mengubah syarat kemasukan ke Program Foundation (FY1/FY2).
Beliau berkata Dr Mahathar selaku Presiden MPM akan memperhalusi perkara itu dan mencari jalan penyelesaian bagi kira-kira 850 pelajar perubatan Malaysia di Newcastle University Medicine Malaysia (NUMed) yang berdepan ketidakpastian masa depan susulan pelaksanaan dasar itu.
“MPM ingin menegaskan bahawa proses pendaftaran dan pengiktirafan graduan perubatan di Malaysia tertakluk kepada peruntukan Akta Perubatan 1971 serta peraturan-peraturan yang berkuat kuasa.
“Segala keputusan berkaitan pendaftaran, latihan dan kelayakan profesional dilaksanakan berdasarkan keperluan statutori dan piawaian yang ditetapkan oleh MPM,” katanya.
Katanya, dari sudut perundangan, kelayakan perubatan yang tersenarai dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 diiktiraf untuk tujuan pendaftaran di Malaysia.
Selaras dengan peranan sebagai badan pengawal selia, MPM kekal komited untuk memastikan semua pengamal perubatan yang berdaftar di Malaysia memenuhi standard kompetensi, profesionalisme dan keselamatan pesakit yang ditetapkan.
Mengikut peraturan baharu itu, keutamaan hanya diberikan kepada graduan yang mengikuti pengajian dan latihan secara fizikal di UK, sekali gus meletakkan pelajar NUMed yang menamatkan pengajian di Malaysia dalam kategori graduan perubatan antarabangsa (IMGs).- Bernama