Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Duta baharu Arab Saudi tekankan pengukuhan hubungan dua hala, komitmen haji, pandangan serantau
  • RENCANA

Duta baharu Arab Saudi tekankan pengukuhan hubungan dua hala, komitmen haji, pandangan serantau

Utusan Sarawak 12 hours ago
DUTA Arab Saudi ke Malaysia, Osamah Dakhdel Al Ahmadi, ketika ditemu bual oleh Bernama baru-baru ini. Beliau berkata hubungan Malaysia–Arab Saudi terus menunjukkan kemajuan yang stabil, disokong oleh iltizam politik yang kukuh serta kerjasama ekonomi yang semakin berkembang, khususnya selaras dengan Wawasan 2030 Arab Saudi. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia yang baharu dilantik dan mula bertugas di negara ini sejak Januari lepas baru-baru ini berkongsi pandangan awal serta keutamaannya dalam satu temu bual eksklusif bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Dalam temu bual itu, Osamah Dakhdel Al Ahmadi mengulas mengenai kemajuan berterusan hubungan Malaysia-Arab Saudi yang diperkukuh oleh kemahuan politik yang kuat serta kerjasama ekonomi yang semakin berkembang, khususnya sejajar dengan Visi 2030 Arab Saudi.

Beliau menegaskan semula komitmen berterusan kerajaan Arab Saudi dalam mempertingkatkan perkhidmatan kepada jemaah haji, termasuk dari Malaysia, selain menggariskan pendekatan diplomatik negara itu terhadap perkembangan serantau dengan menekankan kestabilan, sikap menahan diri dan dialog.

Berikut adalah transkrip penuh temu bual bersama Bernama.

Hubungan ekonomi Malaysia-Arab Saudi: Bagaimana anda menilai hubungan perniagaan dan pelaburan semasa antara Malaysia dan Arab Saudi? Adakah terdapat sektor atau peluang baharu yang wajar diterokai oleh kedua-dua pihak?

Hubungan Arab Saudi-Malaysia sedang menyaksikan perkembangan substantif yang pesat, mencerminkan kesungguhan kepimpinan kedua-dua negara untuk mengangkat hubungan ke tahap yang lebih luas dan kukuh.

Pertukaran lawatan rasmi yang terbaharu adalah lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2023-2024 dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Arab Saudi pada November 2025, telah menyumbang kepada mewujudkan hubungan yang lebih kukuh dan mendalam.

Semasa lawatan itu, penekanan diberikan kepada pengukuhan kerjasama dalam sektor keutamaan bersama dengan memanfaatkan peluang pelaburan yang ditawarkan menerusi Visi 2030 Arab Saudi dan Visi Malaysia MADANI, berdasarkan pencapaian Majlis Penyelarasan Saudi-Malaysia (SMCC) serta membangunkan perkongsian dalam pelbagai bidang yang memenuhi kepentingan kedua-dua negara.

Kedua-dua negara bersaudara itu menikmati hubungan kukuh dan ikatan politik serta ekonomi yang semakin berkembang, selain beriltizam meneruskan laluan positif ini yang mencerminkan hasrat bersama untuk meluaskan bidang kerjasama, meningkatkan kepercayaan bersama, dan memacu hubungan ke ufuk yang lebih luas pada fasa akan datang.

Kerjasama ekonomi antara Arab Saudi dan Malaysia menawarkan peluang luas dan berkembang, khususnya menerusi persekitaran kondusif bagi projek berkualiti dan pelaburan bernilai tambah yang disediakan oleh Visi 2030 Arab Saudi.

Terdapat minat yang semakin meningkat untuk mengembangkan perkongsian dalam bidang pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, industri, pembinaan, pelancongan, logistik dan teknologi moden – sektor di mana syarikat di kedua-dua negara mempunyai kepakaran tersendiri dan yang mewakili keutamaan dalam proses transformasi ekonomi. 

Cita-cita ini tidak terhad kepada meningkatkan jumlah pertukaran perdagangan, tetapi juga termasuk membina perkongsian yang mampan berdasarkan pemindahan kepakaran, merangsang pelaburan bersama dan membangunkan projek bersama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.


Persediaan Haji: Dengan musim Haji yang semakin hampir, bagaimanakah kemajuan persediaan pada tahun ini? Apakah jaminan yang boleh anda tawarkan kepada jemaah, terutamanya mengenai keselamatan, logistik dan pengalaman keseluruhan?

Memberi perkhidmatan kepada jemaah haji merupakan misi yang berakar umbi dan tanggungjawab utama Arab Saudi, yang mendapat perhatian berterusan daripada kepimpinannya. Ia bukan sekadar aspek organisasi bermusim, tetapi sebaliknya merupakan bahagian penting dalam visi komprehensif yang bertujuan untuk memudahkan ibadah haji dan umrah serta meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada mereka pada setiap peringkat. 

Arab Saudi terus menambah baik perkhidmatan, infrastruktur organisasi dan teknologi bagi menyediakan persekitaran yang lebih mudah, meyakinkan dan selesa untuk jemaah dari seluruh dunia termasuk Malaysia.

Arab Saudi melancarkan inisiatif “Laluan Makkah” yang membolehkan jemaah menyelesaikan urusan kemasukan di lapangan terbang negara masing-masing sebelum terus ke tempat penginapan mereka.

Inisiatif itu turut melibatkan Malaysia, sekali gus mencerminkan impak langsungnya dalam memudahkan perjalanan jemaah Malaysia.

Mengenai situasi Asia Barat: Bagaimana anda menggambarkan landskap geopolitik semasa Asia Barat dan apakah pendirian Arab Saudi terhadap konflik yang sedang berlaku? Sejauh manakah perkembangan ini memberi kesan kepada Arab Saudi?

Arab Saudi mempunyai visi yang teguh berdasarkan sokongan terhadap kestabilan, mencegah peningkatan krisis serta mengutamakan penyelesaian politik dan diplomatik.

Ini berpunca daripada keyakinan bahawa keselamatan dan kemakmuran rantau itu hanya boleh dicapai melalui dialog, menghormati kedaulatan negara, dan menangani krisis pada puncanya, sekali gus melindungi kepentingan rakyat mereka dan mencegah peningkatan ketegangan selanjutnya. 

Pendirian Arab Saudi jelas dan tegas. Arab Saudi mengutuk serangan Iran yang menyasarkan Arab Saudi, Negara Teluk dan Jordan, menganggapnya sebagai pelanggaran kedaulatan negara yang tidak boleh diterima dan ancaman langsung kepada keselamatan dan kestabilan rantau ini. 

Arab Saudi menolak sepenuhnya sebarang alasan yang cuba mewajarkan serangan ini.   

Arab Saudi secara rasmi menegaskan bahawa ia tidak akan membenarkan penggunaan ruang udara atau wilayahnya untuk menyerang Iran. Oleh itu, dakwaan ini sama sekali tidak boleh diterima. Tambahan pula, Arab Saudi terus mengamalkan kebijaksanaan dan kawalan diri yang sepenuhnya.  

Arab Saudi terus berusaha dengan penyelarasan bersama negara-negara lain untuk menyokong usaha meredakan ketegangan, mendesak pelaksanaan gencatan senjata dan memulihkan kestabilan serantau.

Serangan yang tidak wajar ini menyasarkan negara-negara yang tidak terlibat dalam perang, menyerang infrastruktur awam, kemudahan tenaga dan kawasan perumahan, yang memberi kesan langsung kepada kepentingan rakyat dan penduduk. 

Arab Saudi menggesa agar serangan itu dihentikan serta-merta, peningkatan ketegangan ditamatkan dan undang-undang antarabangsa serta prinsip kejiranan baik dipatuhi demi memelihara keselamatan dan kestabilan rantau ini.


Tenaga dan pasaran global: Berdasarkan dinamik tenaga global yang berubah-ubah, bagaimana Arab Saudi mengimbangi peranannya sebagai pengeluar minyak utama dengan peralihan global ke arah tenaga boleh diperbaharui?

Arab Saudi menangani isu kestabilan pasaran tenaga dan perlindungan laluan air penting selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Ia menekankan kepentingan keselamatan laluan maritim dan kebebasan pelayaran, termasuk Selat Hormuz dan Selat Bab el-Mandeb.

Sebarang ancaman terhadap laluan air ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi global dan keselamatan tenaga antarabangsa, malah turut menjejaskan pergerakan perdagangan dan barangan keperluan, termasuk bekalan makanan yang secara langsung memberi kesan kepada keperluan negara dan rakyat.

Dari perspektif ini, saluran paip Timur-Barat Arab Saudi menonjol sebagai laluan strategik penting untuk meningkatkan kestabilan bekalan global, terutamanya memandangkan konfrontasi ketenteraan yang semakin meningkat dan kesan langsungnya terhadap trafik maritim di Selat Hormuz. 

Saluran paip ini memberikan Arab Saudi fleksibiliti yang ketara dalam mengangkut bekalan ke pantai Laut Merah melalui laluan alternatif yang selamat, sekali gus memastikan kesinambungan dan kebolehpercayaan bekalan serta mengurangkan kesan ketegangan serantau. 

Respons krisis dan usaha kemanusiaan: Bagaimana Kerajaan Arab Saudi menyumbang kepada bantuan kemanusiaan dan usaha pembinaan semula di kawasan yang terjejas akibat konflik?

Arab Saudi memainkan peranan utama melalui komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap tanggungjawabnya. 

Bantuan kemanusiaan kepada orang yang terjejas akibat peperangan, bencana alam, dan krisis kemanusiaan dizahirkan oleh Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSRelief), yang melaksanakan projek dan program berimpak yang telah mengurangkan penderitaan jutaan orang yang memerlukan di seluruh dunia. 

Pusat ini telah melaksanakan lebih 4,000 projek bantuan kemanusiaan dan kecemasan di 113 negara dengan kos melebihi US$8 bilion merangkumi pelbagai sektor penting.

Projek-projek ini telah menyumbang kepada penyediaan bantuan segera kepada mereka yang terjejas, selain menyokong program pembangunan yang menggalakkan kestabilan dan meningkatkan kualiti hidup dalam komuniti penerima manfaat. 

Arab Saudi menduduki tempat kedua di peringkat global dan pertama dalam kalangan negara Arab dalam menyediakan bantuan kemanusiaan dan bantuan untuk tahun 2025. 

Selain itu, Arab Saudi meneruskan sokongan kemanusiaannya untuk rakyat Palestin melalui KSRelief. 

Data rasmi pusat itu menunjukkan sebanyak 78 pesawat dan lapan kapal telah dihantar membawa lebih daripada 7,706 tan bantuan, selain 914 trak bantuan, 20 ambulans, dan perjanjian bantuan bernilai lebih daripada US$90 juta, sekali gus mencerminkan gabungan pendirian politik dengan tindakan kemanusiaan yang langsung dan terancang.

Arab Saudi secara konsisten menegaskan dalam pendirian dan kenyataan rasminya tentang penolakan yang jelas terhadap pencerobohan Israel dan pelanggaran berterusan terhadap rakyat Palestin. 

Negara ini juga aktif terlibat secara diplomatik dengan rakan serantau dan antarabangsanya untuk menyokong pendirian yang lebih berkesan mengenai perkembangan itu. 

Antara contoh terbaharu ialah pendirian bersama Menteri Luar Arab Saudi dan beberapa negara Arab dan Islam yang menolak keputusan yang diluluskan oleh Knesset (Parlimen Israel) mengenai pelaksanaan hukuman mati ke atas tahanan Palestin, menganggapnya sebagai peningkatan berbahaya yang menjejaskan peluang untuk kestabilan. 

Arab Saudi meneruskan peranan politiknya yang aktif, dengan kerjasama Perancis, dalam menerajui usaha antarabangsa untuk melaksanakan penyelesaian dua negara.- Bernama

Continue Reading

Previous: Harumanis Bachok mula ‘mengharum’, pesara jana ekonomi baharu
Next: Da Nang Vietnam antara 9 destinasi terbaik Asia – Lonely Planet

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.