CADANGAN penjimatan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM10 bilion, termasuk sekitar RM3 bilion daripada sektor kesihatan, telah mencetuskan perbahasan yang signifikan dalam ruang awam.
Isu ini tidak boleh dilihat secara simplistik sebagai sekadar langkah ‘mengurangkan perbelanjaan’, sebaliknya perlu dianalisis dalam kerangka yang lebih luas, iaitu keseimbangan antara keperluan disiplin fiskal negara dengan tanggungjawab sosial kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.
Dalam era ketidaktentuan global yang semakin kompleks yang ditandai dengan konflik geopolitik, ketidakstabilan harga tenaga, serta tekanan inflasi maka kerajaan sememangnya berhadapan dengan keperluan mendesak untuk memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan.

Namun, persoalan yang lebih mendalam ialah sejauh manakah penjimatan ini dirancang secara strategik, dan adakah ia dilaksanakan tanpa menjejaskan sektor-sektor kritikal seperti kesihatan?
Perspektif fiskal
Daripada sudut fiskal, langkah penjimatan ini boleh difahami sebagai sebahagian daripada usaha konsolidasi fiskal yang lebih besar. Malaysia, seperti banyak negara lain, sedang berusaha mengimbangi antara keperluan merangsang ekonomi dan mengawal defisit.
Perbelanjaan kerajaan yang tinggi dalam tempoh pasca pandemik, termasuk subsidi dan bantuan sosial, telah meningkatkan tekanan terhadap kewangan negara.
Oleh itu, usaha untuk mengoptimumkan perbelanjaan melalui penjimatan tertentu adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Dalam konteks ini, penjimatan boleh dilihat sebagai langkah memperkukuh keyakinan pelabur, memastikan penarafan kredit negara kekal stabil, serta memberi ruang kepada pelaburan strategik dalam jangka panjang, termasuk pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Namun demikian, keberkesanan langkah ini sangat bergantung kepada bagaimana penjimatan tersebut dilaksanakan sama ada ia bersifat selektif dan berfokus, atau bersifat menyeluruh tanpa mengambil kira impak sektoral.
Risiko sektor kesihatan
Di sinilah timbul kebimbangan utama apabila sektor kesihatan turut menjadi sasaran penjimatan yang besar. Sektor kesihatan bukan sekadar komponen perbelanjaan kerajaan, tetapi merupakan asas kepada kesejahteraan sosial dan kestabilan ekonomi negara.
Sistem kesihatan awam Malaysia selama ini menjadi tulang belakang kepada akses kesihatan yang inklusif, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Namun, realitinya sistem ini telah lama beroperasi dalam keadaan tekanan tinggi dengan isu seperti kesesakan di hospital kerajaan, kekurangan tenaga kerja kesihatan, serta peningkatan beban penyakit kronik dalam kalangan rakyat.
Dalam keadaan sedemikian, sebarang pengurangan peruntukan, walaupun atas nama penjimatan, berpotensi memperburuk keadaan sedia ada.
Bahana penjimatan
Kesan penjimatan dalam sektor kesihatan tidak semestinya bersifat langsung dan serta-merta, tetapi boleh berlaku secara berperingkat dan kumulatif.
Penangguhan projek naik taraf hospital, pengurangan pembelian peralatan perubatan, serta kekangan dalam pengambilan tenaga kerja baharu adalah antara implikasi yang mungkin timbul.
Dalam jangka pendek, kesan ini mungkin tidak begitu ketara, tetapi dalam jangka sederhana dan panjang, ia boleh membawa kepada kemerosotan kualiti perkhidmatan kesihatan awam.
Masa menunggu yang lebih panjang, tekanan kerja yang meningkat dalam kalangan petugas kesihatan, serta kebergantungan yang lebih tinggi kepada sektor swasta adalah antara risiko yang perlu diberi perhatian serius.
Hakikatnya, penjimatan yang tidak dirancang dengan teliti boleh menjadi “false economy”, iaitu langkah yang menjimatkan kos pada hari ini tetapi meningkatkan kos pada masa hadapan.
Fenomena “false economy” ini amat relevan dalam sektor kesihatan kerana sifatnya yang berkait rapat dengan pencegahan dan rawatan awal. Apabila akses kepada perkhidmatan kesihatan terjejas, penyakit yang sepatutnya dapat dirawat pada peringkat awal berpotensi menjadi lebih serius dan memerlukan rawatan yang lebih mahal.
Aspek ini bukan sahaja meningkatkan beban kewangan kepada kerajaan pada masa depan, tetapi juga memberi kesan kepada produktiviti tenaga kerja negara. Rakyat yang tidak sihat akan kurang produktif, sekali gus menjejaskan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.
Oleh itu, penjimatan dalam sektor kesihatan perlu dilihat bukan sahaja dari sudut perbelanjaan, tetapi juga sebagai pelaburan jangka panjang dalam modal insan negara.
Perspektif politik dan persepsi awam
Cadangan penjimatan ini juga membawa implikasi yang tidak boleh dipandang ringan. Dalam suasana kos sara hidup yang masih mencabar, rakyat amat sensitif terhadap sebarang dasar yang dilihat menjejaskan kebajikan mereka.
Sektor kesihatan, sebagai perkhidmatan asas yang dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, sering menjadi penanda aras kepada komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.
Oleh itu, pemotongan peruntukan dalam sektor ini mudah ditafsir sebagai langkah yang mengorbankan kepentingan rakyat demi mencapai matlamat fiskal.
Persepsi sebegini, jika tidak ditangani dengan baik, boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan, sekali gus memberi kesan kepada kestabilan politik.
Namun begitu, adalah tidak adil untuk menolak sepenuhnya cadangan penjimatan ini tanpa melihat potensi manfaatnya. Jika dilaksanakan dengan pendekatan yang tepat, penjimatan boleh menjadi pemangkin kepada reformasi struktur dalam sektor awam, termasuk sektor kesihatan.
Sebagai contoh, usaha untuk meningkatkan kecekapan perolehan, mengurangkan pembaziran, serta memperkukuh tadbir urus boleh membantu mengoptimumkan penggunaan sumber tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan.
Penggunaan teknologi digital
Selain itu, penggunaan aspek ini dalam sistem kesihatan, seperti rekod perubatan elektronik dan teleperubatan, boleh meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos dalam jangka panjang.
Dalam erti kata lain, penjimatan tidak semestinya bermaksud pengurangan perkhidmatan, tetapi boleh menjadi peluang untuk memperbaiki sistem sedia ada.
Yang lebih penting ialah memastikan bahawa penjimatan ini tidak menjejaskan “frontline services” dalam sektor kesihatan. Perkhidmatan asas seperti rawatan pesakit, bekalan ubat-ubatan, serta kebajikan petugas kesihatan perlu dilindungi sepenuhnya.
Sebaliknya, penjimatan boleh difokuskan kepada aspek yang kurang kritikal atau yang mempunyai ruang untuk penambahbaikan dari segi kecekapan. Pendekatan ini memerlukan perancangan teliti serta pemahaman mendalam tentang keutamaan dalam sektor kesihatan.
Tanpa pendekatan strategik, penjimatan berisiko menjadi langkah jangka pendek yang membawa kesan negatif dalam jangka panjang.
Cabaran dunia global
Dalam konteks yang lebih luas, cadangan penjimatan ini juga mencerminkan cabaran yang dihadapi oleh kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara dalam persekitaran global yang tidak menentu.
Keputusan dasar tidak lagi boleh dibuat berdasarkan pertimbangan ekonomi semata-mata, tetapi perlu mengambil kira implikasi sosial dan politik yang lebih luas.
Aspek ini menuntut pendekatan yang lebih holistik dan bersepadu dalam perancangan dasar yang setiap keputusan dinilai bukan sahaja dari sudut kos dan manfaat ekonomi, tetapi juga dari sudut kesejahteraan rakyat dan kestabilan sosial.
Rumusan
Cadangan penjimatan RM10 bilion, termasuk RM3 bilion dalam sektor kesihatan, adalah satu langkah yang kompleks dan memerlukan pertimbangan yang mendalam.
Dari satu sudut, ia mencerminkan keperluan untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara dalam menghadapi cabaran global.
Namun dari sudut lain, ia membawa risiko yang signifikan terhadap sektor kesihatan dan kesejahteraan rakyat jika tidak dilaksanakan dengan berhati-hati.
Oleh itu, kunci kepada kejayaan langkah ini terletak pada bagaimana ia dirancang dan dilaksanakan. Penjimatan bersasar, berasaskan kecekapan, dan disertai dengan reformasi struktur adalah jauh lebih penting daripada sekadar pengurangan peruntukan.
Dalam hal ini, kerajaan perlu memastikan bahawa keseimbangan antara disiplin fiskal dan tanggungjawab sosial sentiasa dipelihara, kerana pada akhirnya, kekuatan sesebuah negara bukan sahaja diukur melalui kedudukan kewangannya, tetapi juga melalui tahap kesejahteraan rakyatnya.
Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.