LAWAS: Pengurusan kewangan Sarawak dan program pembangunan rakyat di Sarawak telah berjaya dirancang dengan baik dan teliti dibawah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.
Dakwaan Sarawak akan bangkrap dan tidak ada kewangan untuk perbelanjaan pembangunan seperti yang didakwa oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini adalah bukti kegagalan mereka dalam mengurus kewangan dan negara.
Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Dato Henry Sum Agong (gambar) menjelaskan politik retorik dan politik janji manis PH hanya bertahan 22 bulan kerana tidak ada kesepakatan antara mereka.
Malahan Belanjawan Negara 2021 juga membuktikan kerajaan masih ada kewangan untuk membangunkan negara.
Oleh itu, rakyat perlu sedar bahawa selama 22 bulan banyak projek di Sarawak khususnya di Lawas yang menbabitkan hospital Lawas, lapangan terbang baharu Lawas dan bantuan kebajikan telah dipotong dan projek besar dikaji semula.
Semua ini adalah alasan pihak pemimpin PH yang mana mereka dilihat terus membawa pembangunan ke Pulau Pinang, projek mega di Langkawi dan tempat lain di Semenanjung Malaysia.
Henry Sum yang juga Ahli Parlimen Lawas menyatakan demikian pada majlis penyerahan sumbangan Sentuhan Kasih Yayasan Petronas dan sumbangan gereja dari Pusat Khidmat Parlimen Lawas di Kampung Long Tuma semalam.
Seterusnya beliau juga kecewa dengan dakwaan tidak mengambil berat isu kad pengenalan kepada penduduk di Lawas khususnya di Ba’kelalan.
“Kita telah membawa pasukan dari Jabatan Pendaftaran Negara semasa Barisan Nasional (BN) memerintah dan ramai yang berjaya diberi kad pengenalan dan taraf kerakyatan.
“Cuba tanya masyarakat Iban di Lawas ini, seratus peratus mereka telah mendapat kad pengenalan, memiliki dokumen dan maklumat yang lengkap,” tambahnya.
Henry Sum juga menjelaskan bahawa isu pengeluaran kad pengenalan bukanlah seperti menbuat lesen memandu atau sebagainya kerana proses mendapat kad pengenalan melalui proses siasatan dan kawalan keselamatan yang ketat daripada Kementerian Dalam Negeri.
“Walaupun mereka pernah berkhidmat sebagai anggota Borders Scout atau apa sahaja semasa zaman dahulu, perlu menjalani proses siasatan yang mendedah perkara sebenar butiran kelahiran dan negara asal keturunan mereka terdahulu.
“Usah tuduh sembarangan kerana yang memberhentikan program JPN ke kawasan Ba’kelalan dan luar bandar Sarawak adalah kerajaan PH dan bukannya kerajaan BN atau PN,” jelas beliau.
Namun demikian Henry Sum berjanji akan memberi perhatian kepada perkara ini dan memandang serius perbuatan pihak tertentu yang menyerang pejabat JPN Lawas serta mengeluarkan pelbagai kata-kata tidak wajar.
Ini hanya dapat diselesaikan pada peringkat atasan dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.
Henry Sum menyeru rakyat menolak bentuk politik kasar yang tidak tahu prosedur yang perlu dilalui dalam melaksanakan sesuatu urusan.
“Kerajaan GPS mahupun PN tidak pernah mengamalkan politik penghapusan etnik seperti yang dipaparkan oleh pihak PKR Ba’kelalan. “Kita di GPS dan PN sentiasa mengutama dan memastikan setiap rakyat negara ini mendapat pembelaan dan bukan pembohongan,” ujarnya.
Oleh ADENG EDRUS