
MAKKAH: Sebanyak 514 bakal jemaah haji Malaysia menangguhkan tawaran pada saat akhir bagi musim ini atas pelbagai faktor yang tidak dapat dielakkan.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata antara sebab utama termasuk masalah kesihatan, kematian, kemalangan serta situasi tertentu seperti tempoh idah yang menghalang jemaah daripada meneruskan ibadah itu.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata Lembaga Tabung Haji (TH) mengambil langkah proaktif dengan menggantikan kekosongan melalui senarai menunggu, dan berjaya memenuhi kuota.
“Kita cuba gantikan tempat yang ditangguhkan selagi sistem dibuka termasuk mereka yang telah membuat pemeriksaan kesihatan dan bersedia untuk berlepas dalam tempoh singkat.
“Usaha ini penting bagi memastikan setiap kuota yang diperuntukkan kepada Malaysia dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya kepada media, di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau menasihatkan jemaah supaya menjaga dokumen penting termasuk Kad Nusuk, susulan enam kes kehilangan dilaporkan setakat ini.
“Nasihat kepada semua jemaah supaya sentiasa berhati-hati dengan kad yang telah diberikan dan kalau boleh sentiasa dipakai di leher.
“Jika hilang, jangan panik kerana masih boleh menggunakan aplikasi Nusuk sebagai alternatif digital,” katanya.
Mohd Hisham berkata pihaknya akan membantu jemaah mendapatkan kad gantian dengan kerjasama pihak berkuasa Arab Saudi serta melakukan semakan di pusat barang-barang ditinggal dan dijumpai (lost and found).
Beliau turut menggalakkan jemaah untuk memuat turun aplikasi Nusuk sebelum berlepas ke Tanah Suci bagi memudahkan urusan sekiranya berlaku kecemasan.
“Walaupun kad fizikal penting, versi digital dalam aplikasi Nusuk masih boleh digunakan untuk tujuan pengesahan di pusat pemeriksaan,” katanya.- Bernama