Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Pemulihan penanaman getah Sarawak
  • KOLUMNIS

Pemulihan penanaman getah Sarawak

Utusan Sarawak 11 hours ago

GETAH pertama kali diperkenalkan di Sarawak ialah pada 1881. Namun, pengenalan getah tidak dapat reaksi positif daripada penanam komersial ketika itu.  

Ia hanya berkembang pesat pada abad ke-20 apabila getah mula mendapat perhatian dalam industri pemotoran. Sehubungan dengan itu juga getah mula menjadi antara tanaman komersial utama di Sarawak.  

Walaupun harga getah mengalami turun naik terutama pada zaman kemelesatan ekonomi dunia, tanaman komersial ini tetap menjadi bahan eksport penting bagi Sarawak.  

Gambaran AI semata-mata

Suasana berubah apabila Jepun menduduki Sarawak. Sarawak terputus hubungan dengan dunia Barat, dan tanaman ini mula terbiar serta mengalami kerosakan. Selepas kekalahan Jepun, banyak kebun getah telah musnah.

Pemulihan

Kerajaan British yang mengambil alih Sarawak memikul tanggungjawab besar untuk memulihkan tanaman ini. Ini kerana getah masih lagi mendapat pemintaan tinggi di dunia. Usaha pemulihan tanaman getah ini membuahkan hasil.  

Hal ini dibuktikan melalui peningkatan eksport getah, apabila jumlahnya pada 1947 meningkat sedikit berbanding 1940, iaitu daripada 590,470 pikul kepada 597,241.9 pikul. Jumlah ini seterusnya meningkat kepada 670,062.46 pikul pada 1948.

Akibat kejatuhan harga getah pada 1949 pula pengeluaran getah mengalami penurunan pada tahun tersebut. Namun demikian penurunan ini agak sedikit. Jumlah eksport getah Sarawak pada tahun tersebut adalah 652,636.66 pikul. 

Kualiti

Walaupun getah menunjukkan peningkatan dalam pengeluarannya, pada peringkat awal terdapat beberapa aduan tentang kualiti kepingan getah asap (smoked sheets) yang dieksport dari Sarawak.  

Perkara ini berpunca daripada bahan pembeku (koagulan) yang berkualiti rendah digunakan. Untuk mengatasi masalah ini, asid formik dan asid asetik dibawa masuk bagi mengantikan penggunaan asid sulfurik.  

Selama ini penggunaan asid ini secara tidak sesuai telah merosakkan kualiti getah yang dikeluarkan di Sarawak. Namun demikian kerajaan British tidak dapat mengawal penggunaan bahan ini kerana harganya murah.

Usaha untuk meningkatkan pengeluaran ini juga membawa kepada kaedah kayu tunas. Penggunaan kaedah ini membolehkan kualiti pokok getah yang tinggi dicantumkan dengan pokok getah lain. Satu tapak semaian kaedah ini telah diwujudkan untuk tujuan tersebut.

Stesen Pertanian Semenggok berfungsi sebagai pusat pengeluaran benih kayu cantuman ini. Selain itu, beberapa tapak semaian turut diwujudkan, iaitu di Tarat dan Tebakang (Bahagian Pertama). Di Bahagian Kedua pula, stesen semaian didirikan di Betong dan Saratok.

Galakan

Dalam hal ini pihak kerajaan British telah mengalakkan penggunaan semaian tersebut. Usaha untuk mengalakkan keadah benih kayu tunas ini juga dilakukan oleh pegawai pentadbir di Pejabat Pentadbiran dan pegawai Jabatan Tanah.  

Kesukaran yang timbul pula adalah masalah penghantaran benih-benih kayu tunas tersebut,masalah sifat anak benih yang tidak sesuai untuk cantuman dan kekurangan tenaga mahir untuk menjalankan proses tersebut.

Masalah teknik penorehan dan pengurusan kebun yang masih berada pada tahap rendah merupakan antara isu yang timbul dalam usaha mengendalikan pokok getah cantuman secara berkesan.  

Bagi mengatasi masalah-masalah ini, maka dicadangkan untuk menggunakan benih klon secara lebih meluas (diedarkan dalam bentuk tunggul).

Walaupun cara tersebut sebagai usaha mengatasi penghasilan getah bermutu di Sarawak, ia tetap menghadapi masalah yang sedia ada. Kekangan utama isu ini adalah ketidakcukupan bekalan benih klon yang diiktiraf dan kosnya tinggi, sekali gus menyukarkan proses pengedaran secara meluas.

Penyelesaian

Untuk mengatasi masalah ini, satu langkah rundingan dengan Institut Getah Tanah Melayu telah diadakan. Tujuan rundingan ini dibuat adalah untuk mendapat benih klon lebih banyak dan mempunyai harga murah. 

Untuk tujuan tersebut, satu rundingan antara Pemangku Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak dengan Pengarah Institut Getah Tanah Melayu telah diadakan pada 18 Jun 1947.  

Beberapa perkara disentuh dalam mesyuarat tersebut. Antaranya untuk memberi latihan khusus dalam kalangan kakitangan Jabatan Pertanian khasnya kepada pegawai tempatan, mengadakan lawatan nasihat daripada pegawai institut tersebut ke Sarawak dan nasihat teknikal menerusi penerbitan tempatan kepada pekebun kecil Sarawak. 

Pihak pengarah institut dalam jawapannya telah menetapkan bahawa penyediaan khidmat nasihat teknikal adalah tertakluk kepada bayaran tahunan berjumlah $1,000.  

Pengarah dari institut itu juga bersetuju memberi latihan kepada pegawai-pegawai Jabatan Pertanian Sarawak dengan bayaran sebanyak $300 seorang. 

Bagaimanapun, kekangan pada waktu tersebut menyebabkan pengarah institut berkenaan tidak dapat mengadakan lawatan nasihat ke Sarawak sebagaimana yang diminta. 

Bagi Pemangku Pengarah Jabatan PertanianSarawak, beliau amat berharap agar institut tersebut mengadakan lawatan nasihat pada 1949.  

Kualiti

Langkah lain yang diambil untuk memulihkan dan membangunkan penanaman getah ialah meningkatkan kualiti kepingan getah yang dihasilkan. 

Usaha untuk meningkatkan kualiti kepingan getah ini mendapat sokongan Colonial Development and Welfare Fund melalui penubuhan kilang demonstrasi kepingan getah asap yang sesuai digunakan oleh pekebun kecil. 

Susulan dengan cadangan itu, perancangan membina kilang ini di Bahagian Pertama adalah di Kampung Simpok dan Tebakang. Bagi Bahagian Kedua, demonstrasi ini diadakan di Betong. 

Seterusnya, ia turut dilaksanakan di Kanowit (BahagianKetiga) dan Limbang (Bahagian Kelima). Namun demikian, reaksi pekebun kecil terhadap usaha kerajaan ini dilihat kurang memberangsangkan.

Secara kesimpulannya, perkembangan pada awal pemerintahan kerajaan British di Sarawak memperlihatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam membangunkan semula industri penanaman getah. 

Usaha ini menunjukkan kejayaan ketara pada peringkat awal, walaupun mutu kepingan getah yang dihasilkan di Sarawak masih belum mencapai tahap yang memuaskan.

Hanya kejatuhan harga getah sedikit mempengaruhi pengeluaran komoditi itu pada 1949.  

Wacana akan datang akan meneliti perkembangan pengeluaran getah Sarawak pada tahun-tahun 1950an.

Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Continue Reading

Previous: Di udara, hanya ada satu bahasa digunakan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.