Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Cederakan bekas isteri: Rosmaini dihukum penjara maksimum 14 tahun
  • MAHKAMAH

Cederakan bekas isteri: Rosmaini dihukum penjara maksimum 14 tahun

Utusan Sarawak 16 hours ago
MAHKAMAH Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara maksimum 14 tahun terhadap seorang peniaga kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya yang ketika kejadian itu mengandung, sehingga berada dalam koma lima tahun lepas.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara maksimum 14 tahun terhadap seorang peniaga kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya yang ketika kejadian itu mengandung, sehingga berada dalam koma lima tahun lepas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azman Abdullah, Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid juga memerintahkan Rosmaini Abd Raof membayar ganti rugi RM25,000 kepada mangsa melalui wakil keluarga wanita berkenaan, atau berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal berbuat demikian.

Mahkamah menolak rayuan Rosmaini untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mendapatinya bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah Nordin @ Sylvester, 48, dan membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menaikkan hukuman daripada 10 kepada 14 tahun penjara iaitu hukuman maksima di bawah Seksyen 325 dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Rosmaini, 43, diperintah menjalani hukuman penjara mulai hari ini. Lelaki terbabit sebelum ini dilepas dengan ikat jamin RM25,000 sementara menunggu rayuannya diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Dia dituduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Jahidah, seorang bekas pegawai penguat kuasa Perhilitan, di sebuah apartment di Kampung Aman, Larkin, Johor Bahru pada 6.00 pagi, 4 Mei 2021. 

Ketika menyampaikan keputusan, Hakim Noorin berkata mahkamah mendapati hukuman penjara 10 tahun tidak mencukupi dalam kes tersebut kerana kesan kecederaan dialami mangsa adalah setara dengan kemusnahan kehidupan secara keseluruhan.

Beliau berkata mangsa kini hidup pada nyawa tanpa keupayaan untuk berfungsi sebagai seorang manusia secara bermakna. 

Hakim Noorin berkata kes itu wajar dikenakan hukuman maksima dengan mengambil kira tahap keganasan melampau, kesan kekal dan dahsyat terhadap mangsa, keadaan mangsa sedang mengandung ketika itu, kesan kepada anak dilahirkan selain kepentingan awam bagi membanteras keganasan rumah tangga.

“Fakta kes menunjukkan satu serangan yang kejam dan berterusan oleh seorang suami terhadap isterinya yang ketika itu sedang mengandung. Tahap keganasan yang dilakukan adalah amat serius sehingga menyebabkan mangsa dalam keadaan vegetatif kekal sehingga ke hari ini,” katanya.

Beliau berkata keterangan impak mangsa amat menyayat hati di mana mangsa digambarkan sebagai “mayat hidup” yang memerlukan penjagaan sepenuh masa selama bertahun-tahun tanpa sebarang harapan untuk pulih dan mangsa bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk keperluan asas kehidupan. 

“Kesan daripada perbuatan Rosmaini bukan sahaja menimpa mangsa, malah turut melibatkan anak yang dikandung ketika kejadian. Anak tersebut mengalami kelewatan perkembangan dan kecacatan akibat insiden tersebut. Maka, kes ini sebenarnya melibatkan kemusnahan dua kehidupan,” kata Hakim Noorin.

Beliau berkata tindakan Rosmaini menghubungi bekas jiran, mengaku bergaduh, mengelak di hospital dan menghilangkan diri untuk tempoh lama menunjukkan kesedaran tentang kesalahan, bukannya tindakan orang tidak bersalah yang berada dalam kecemasan.

Hakim Noorin berkata berdasarkan keterangan perubatan, mangsa mengalami kecederaan meluas termasuk pendarahan intrakranial, pelbagai patah tulang dan trauma teruk yang konsisten dengan serangan berulang.

Pada 9 Dis 2024, Mahkamah Sesyen mendapati Rosmaini bersalah terhadap tuduhan dan menjatuhi hukuman penjara 10 tahun. Pada 4 Nov 2025, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Rosmaini dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen. 

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari bertindak bagi pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa mangsa melahirkan seorang bayi lelaki secara pembedahan dan kanak-kanak itu kini disahkan mengalami kelewatan perkembangan.

Rosmaini diwakili peguam Kamal Hisham Ja’afar dan Nurainaa Kamilah. – Bernama

Continue Reading

Previous: Kes tikam 61 kali, empat suspek direman

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.