
BINTANGOR: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Bintangor terus mengekalkan tahap kesiapsiagaan tinggi melalui pelaksanaan penilaian kompetensi kemahiran melibatkan empat anggotanya sebagai langkah memastikan kecekapan operasi sentiasa berada pada tahap optimum.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, penilaian tersebut merangkumi pelbagai aspek kemahiran kritikal yang diperlukan dalam operasi menyelamat dan kebakaran.

“Penilaian kompetensi seperti ini penting bagi memastikan setiap anggota berada pada tahap kemahiran yang tinggi dan bersedia menghadapi sebarang situasi kecemasan.
“Antara komponen yang dinilai termasuk pengurusan bilik kawalan, penggunaan alat pernafasan (BA), teknik ikatan dan simpulan, ikatan menyelamat, pengurusan stretcher, ikatan anchor dan pengendalian sistem takal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, sesi penilaian yang dilaksanakan di bilik jentera BBP Bintangor turut diselia oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Bakar Ujang.

“Latihan serta penilaian berterusan adalah penting dalam memastikan anggota bomba sentiasa bersedia, cekap dan berdisiplin dalam menjalankan tugas.
“Setiap anggota bomba perlu sentiasa mengasah kemahiran dan mematuhi prosedur operasi standard bagi memastikan keselamatan diri dan orang awam sentiasa terpelihara,” katanya.
Tambahnya, penilaian kompetensi kemahiran tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pembangunan profesional anggota BBP Bintangor dalam menyediakan perkhidmatan kecemasan yang lebih berkesan kepada masyarakat setempat.
Oleh Earl Anek