BAIK dinding mahupun tembok kosong, ia bagaikan kanvas besar buat Kassmadi Morshidi untuk mencurahkan bakat seninya sebagai seorang pelukis mural sejak lebih dua dekad lepas.
Biarpun tidak mendapat pendidikan khusus dalam seni lukisan, bakat anak kelahiran Kuching ini kerap menjadi tagihan ramai pihak yang mahukan hasil seninya menjadi hiasan yang menceriakan premis mereka.
“Menghasilkan mural bukanlah semudah melukis di atas sekeping kertas lukisan kerana ruang untuk kita melukis adalah jauh lebih luas, memerlukan kita lebih detail (terperinci) supaya hasilnya memuaskan biarpun dilihat dari jauh mahupun dekat,” kata Kassmadi, 42, kepada Bernama baru-baru ini.
Sepanjang penglibatannya dalam seni mural ini, beliau dibantu Daud Bujang, 40, seorang kartunis separuh masa dan pernah menghasilkan komiknya sendiri satu ketika dahulu, sebelum menjadi teman seni Kassmadi sejak 1990.
“Kami berdua sebenarnya bermula dengan melukis di gerai burger yang kami kendalikan sebelum ini dan hasil lukisan itu menarik perhatian seorang pengunjung yang seterusnya meminta kami untuk melukis mural di sebuah tadika di Kuching,” kata Kasmadi menceritakan permulaan langkah mereka bergiat serius dalam seni mural.
PERJALANAN SENI
Semenjak permintaan pertama itu, Kassmadi dan Daud tidak lagi menoleh ke belakang sebaliknya terus mencartakan perjalanan seni mereka apabila satu demi satu pelawaan diterima untuk mencurahkan warna-warni ceria di tembok dan dinding bangunan pelanggan.
Kemuncak penglibatan mereka setakat ini dicatat pada tahun 2010 setelah menerima permintaan untuk melukis mural untuk bangunan Yayasan Sarawak di Petra Jaya di sini.
“Setelah bertungkus-lumus selama kira-kira dua minggu, kami berjaya menyiapkan lukisan berukuran kira-kira 6,600 kaki persegi (613 meter persegi) dan menjadi mural terbesar yang telah kami hasilkan setakat ini,” kata Kassmadi.
Dengan saiz mural yang agak besar ini juga telah membuatkan dua sahabat ini menghadapi pelbagai cabaran untuk menyiapkannya.
“Selain keadaan cuaca hujan yang menyebabkan kerja-kerja melukis kami tergendala, pada satu ketika Daud hampir terjatuh dari tangga semasa melukis pada bahagian tinggi bangunan itu,” kata Kassmadi.
GUA NIAH
Mural terbesar yang terhasil masih kekal bertahan pada dinding bangunan Yayasan Sarawak biarpun telah 10 tahun dihambat masa dan cuaca, seperti mana kecekalan dua sahabat ini untuk terus berkarya pada tembok atau dinding yang mahu diwarnai.
Semasa ditemui Bernama baru-baru ini, kedua-duanya sedang khusyuk menyiapkan lukisan mural di bangunan Radio Television Malaysia (RTM) Sarawak di Kuching iaitu projek terbaharu mereka.
“Untuk bangunan RTM di sini, kami telah diminta untuk membuat lukisan mural Gua Niah serta alam semulajadi di sekelilingnya,” kata Kassmadi dan menambah bahawa mereka juga diminta untuk melukis lukisan mural di stesen RTM lain di Sarawak.
Beliau yang pernah menjadi tenaga pengajar di sebuah institut kesenian di Miri sebelum mengambil keputusan untuk berhenti tahun lepas bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjayanya sebagai pelukis mural, masih menyimpan satu lagi hasrat untuk dicapai.
“Jika ada ruang dan peluang, saya ingin melukis mural barisan Ketua Menteri Sarawak dari sejak merdeka sehinggalah sekarang yang saya harap boleh menjadi tatapan dan tarikan baru di negeri ini … Insya-Allah,” katanya. – Bernama