
Pasangan Korea tersebut memenangi perlawanan dengan keputusan 16-21, 21-10, 21-13.
HORSENS: Beregu wanita Baek Ha Na-Kim Hye Jeong menganggap kejayaan Korea Selatan memusnahkan impian China untuk mempertahankan kejuaraan Piala Uber 2026 di Forum Horsens di sini hari ini sebagai satu kerja gila.
Ha Na-Hye Jeong bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan beregu nombor empat dunia Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 16-21, 21-10, 21-13 dalam perlawanan penentuan yang sengit selama 85 minit, sekali gus menghadiahkan kejuaraan Piala Uber ketiga buat Korea Selatan.
Ha Na, 25, berkata kemenangan itu lebih bermakna kerana dicapai melalui kepercayaan kolektif dan kesepakatan dalam pasukan sepanjang kempen.
“Sebenarnya, saya langsung tidak menjangkakannya (menewaskan China) tetapi sudah tentu keinginan untuk menang sangat kuat. Kami sentiasa saling memberikan kata-kata semangat dan saya fikir kami terus menyemai pemikiran dalam diri masing-masing bahawa kami mampu melakukannya.
“Sejujurnya, memenangi Piala Uber adalah sesuatu yang sangat sukar untuk dicapai. Melakukannya dengan cara ini, dengan semua berkongsi satu hati dan satu fikiran sebagai satu pasukan, ia amat bermakna,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah.
Hye Jeong, 28, pula berkata titik perubahan kemenangan mereka pada perlawanan keempat menentang Yi Fan-Shu Xian berlaku apabila mereka kembali kepada corak permainan semula jadi selepas set pembukaan yang sukar, sekali gus mengubah rentak yang memihak kepada mereka.
“Pada set kedua, kami memutuskan untuk melakukan rali lebih panjang dan bermain dengan kekuatan asal kami daripada awal. Ia mula menjadi dan diteruskan pada set ketiga,” katanya.
Pemain perseorangan wanita nombor satu dunia An Se Young memulakan langkah kanan buat Korea Selatan apabila menewaskan pemain nombor dua dunia Wang Zhi Yi 21-10, 21-13 dalam tempoh 47 minit, namun China bangkit menerusi beregu nombor satu dunia Liu Sheng Shu-Tan Ning yang menyamakan kedudukan dengan kemenangan meyakinkan 21-15, 21-12 ke atas Jeong Na Eun-So Hee.
Korea Selatan bagaimanapun kembali menguasai perlawanan apabila perseorangan kedua dan pemain nombor 17 dunia Kim Ga Eun melakukan kejutan dengan menewaskan pemain nombor empat dunia Chen Yu Fei 21-19, 21-15 dalam tempoh 55 minit sebelum Ha Na-Hye Jeong tampil menyinar untuk membawa pulang trofi.
Sementara itu, Se Young gembira meraih gelaran Piala Uber kedua selepas di Bangkok 2022 dan berkata pasukan itu akan meraikan kemenangan dalam satu majlis di hotel.
Dalam pada itu, Yi Fan yang kelihatan sedih mengakui beliau dan rakan gandingannya Shu Xian gagal mengatasi tekanan pada detik penentuan, sekali gus menghalang mereka daripada memenangi perlawanan keempat itu.
“Apabila saya beraksi dalam acara individu sebelum ini, saya tidak pernah berdepan tekanan seperti ini. Saya rasa kekalahan hari ini sebenarnya tidaklah seteruk seperti yang saya bayangkan,” katanya. – Bernama