KAUM Iban sememangnya terkenal dengan kemahiran dalam seni pembuatan tekstil.
Salah satu teknik yang mungkin jarang didengari namun tidak asing pada mata adalah tenunan karap.
Dengan teknik tenunan karap, antara yang dapat dihasilkan adalah kain selampai, kain ngepan Iban, pua karap bahkan kain tenunan ala nyonya iaitu versi yang lebih moden.
Sudan Ruma, nama tukang tenun karap yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di Bintulu terutamanya bagi kaum wanita Iban.
Berbekalkan pengalaman selama 30 lebih tahun, kemahirannya dalam seni pembuatan tenunan karap sudah tentunya tidak dapat dinafikan lagi.
Sudan yang kini berusia 62 tahun masih lagi bersemangat menghasilkan produk tenunan itu dengan harapan agar dapat mengekalkan tradisi pembuatan tenunan tersebut.
“Saya sebenarnya amat berharap generasi baharu berminat dalam pembuatan sebab jumlah yang tahu akan seni ini semakin berkurangan.
“Setakat ini di Bintulu, yang saya tahu masih aktif dalam pembuatan tenunan karap ini hanya tinggal saya dan seorang lagi lelaki,” katanya.
Sudan juga menekankan bahawa kemahiran itu bukan sahaja perlu dipelihara untuk mengekalkan warisan, namun ia juha mampu meningkatkan martabat wanita dengan menjana pendapatan lumayan.
“Kemahiran bertenun ini amat berguna dan dapat memberi pulangan lumayan jika produknya dikomersialkan secara meluas.
“Oleh itu, saya betul-betul menyarankan kita (wanita) untuk belajar dan memanfaatkan sepenuhnya kemahiran ini,” jelasnya yang juga memaklumkan bahawa dia pernah menerima tempahan daripada seorang wanita Dayak yang menetap di Dubai.
Tambah Sudan, proses pembelajaran tenunan tersebut tidaklah serumit yang dilihat jika ia selalu dipraktikkan
“Dahulu pun saya kurang berminat dengan tenunan dan hanya melihat sahaja orang lain bertenun.
“Lama-kelamaan saya menjadi berminat pula dan mula belajar dengan seorang wanita tua pada masa itu.
“Bila difikirkan, saya rasa bersyukur kerana telah mempelajari kemahiran bertenun sebab ia kini menjadi punca pendapatan saya selepas suami saya pencen,” ujarnya.
Katanya, bagi sesiapa yang berminat, Diana dengan senang hati mengajak mereka untuk datang melihat dia bertenun sekali gus mengajar mereka.
“Bagi mereka yang berminat terutama golongan muda, saya amat mengalu-alukan kedatangan mereka asalkan benar-benar ingin belajar.
“Sebab ini adalah salah satu tradisi dan identiti kaum kita (Iban) serta menjadi satu kebanggaan kerana ramai yang berminat dengan hasil tenunan buatan kita,” ujarnya lagi.
Kini, dengan perkembangan teknologi, Sudan juga tidak ketinggalan apabila turut mempromosikan produk dengan memuat naik gambar hasil tenunan di Facebook dengan nama akaun ‘Tenunan Karap Iban’.
Harga tenunan Sudan bermula pada kadar RM300 sehingga RM1,000 lebih bergantung pada jenis benang, reka bentuk dan saiz kain tersebut.
Oleh CAROLYNE UTIH