
KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) terus mempergiat usaha membendung penularan rabies menerusi pelaksanaan Program Vaksinasi Anti-Rabies, Pelesenan dan Pemasangan Mikrocip yang diadakan di Market Sungai Maong, hari ini.
Program bersepadu itu merupakan kerjasama strategik antara pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) bagi mencegah jangkitan dalam kalangan haiwan peliharaan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab sebagai pemilik anjing.
Inisiatif berkenaan berteraskan pendekatan One Health yang menggabungkan aspek kesihatan haiwan dan manusia, sekali gus memperkukuh keselamatan komuniti secara menyeluruh.
Melalui pelaksanaan program tersebut, sebanyak 100 ekor anjing disasarkan menerima suntikan vaksin anti-rabies, selain pendaftaran lesen pemilikan serta pemasangan mikrocip secara percuma bagi memudahkan pematuhan terhadap peraturan sedia ada.
Vaksinasi anti-rabies adalah diwajibkan di bawah Perintah Kawalan Penyakit (Rabies) selaras dengan Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 dan perlu dilaksanakan setiap tahun bagi mewujudkan imuniti kelompok serta mengurangkan risiko jangkitan zoonotik kepada manusia.
Seiring perkembangan semasa, Sarawak turut melaksanakan program rintis Oral Rabies Vaccination (ORV) bermula April 2026 yang menyasarkan anjing liar atau sukar ditangkap, di samping meneruskan vaksinasi konvensional melalui klinik veterinar dan program komuniti.


Sementara itu, di bawah Local Authorities (Dog Licensing and Control) By-Laws 2018, pemilikan anjing wajib dilesenkan dengan had maksimum tiga ekor bagi setiap kediaman, dan kegagalan mematuhi peraturan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000.
Dalam perkembangan sama, pemasangan mikrocip sebagai pengenalan kekal haiwan peliharaan dilihat mampu mempercepat pengesanan pemilik, sekali gus meningkatkan kebertanggungjawaban serta menyokong usaha mewujudkan komuniti bebas rabies.
Sepanjang program berlangsung, sebanyak 158 ekor anjing telah dilesenkan, 228 divaksin dan 158 dipasang mikrocip, mencerminkan sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Program tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan DBKU, Sih Hua Tong, serta turut dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komuniti DBKU, Rudzaimeir Malek dan Pegawai Veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Dr Ainul Riza Abu Seman.