PUSA: Kefahaman dan pengetahuan tentang buaya adalah penting sebagai langkah dan persediaan untuk mengelakkan diri dari serangan reptilia itu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor berkata, Daerah Pusa contohnya, merupakan kawasan yang berisiko tinggi terhadap serangan buaya kerana penduduknya yang terdiri daripada petani dan nelayan amat bergantung harap terhadap sungai untuk meneruskan kehidupan harian.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik penganjuran Program Pendidikan, Kesedaran dan Pemuliharaan Buaya di Dewan Kampung Tambak, Pusa semalam yang menjadi platform dalam mendedahkan pengetahuan untuk mengelak serangan buaya.
“Melalui program ini, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum
(KMKK) dan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) dapat menimba kefahaman dan pengetahuan tentang buaya dan langkah untuk mengelakkan serangan reptilia itu terutamanya yang menjadikan sungai sebagai pendapatan utama penduduk.
“Bagi menyelesaikan konflik buaya dengan manusia yang sering berlaku di Sarawak, mentaliti membunuh atau mengeluar semua buaya ganas di dalam sungai bukanlah satu jawapan yang munasabah untuk menangani konflik ini.
“Sebaliknya akan menjurus kepada pelbagai isu yang lain seperti keselamatan, keperluan teknologi dan senjata serta isu pembentukan moral masyarakat,” katanya semasa program itu semalam.
Dari pandangan berbeza, Razaili berkata, habitat buaya berpotensi untuk menjadi satu tarikan pelancong yang datang ke Sarawak.
Dalam pada itu menurut beliau, meskipun dianggap sebagai reptilia ganas, namun buaya turut memainkan peranan penting kerana ia merupakan pemangsa tertinggi dalam ekosistem sungai, mengawal populasi haiwan lain, mengawal jangkitan penyakit dari haiwan yang tidak sihat serta makanan untuk haiwan lain termasuk buaya sendiri.
Tambahnya, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada berlakunya peningkatan konflik antara buaya dan manusia iaitu pertindihan habitat, tradisi dan kepercayaan serta populasi buaya yang bertambah di sesuatu kawasan.
“Manusia dan buaya sering berkongsi habitat atau kawasan yang sama untuk mendapatkan sumber makanan terutama di kawasan sungai.
“Faktor tradisi dan kepercayaan penduduk tempatan yang masih mengamalkan adat ‘mali’ (pantang) juga dilihat antara faktor menyumbang kepada konflik buaya dan manusia kerana menurut kepercayaan mereka, buaya akan membalas dendam sekiranya keturunan ia diusik (ditangkap atau dibunuh),” ujar beliau lanjut.
Justeru, kata Razaili program itu juga digunakan untuk berdialog bersama masyarakat kampung dalam membincang dan mencapai situasi ‘menang-menang’ iaitu meningkatkan pendapatan selain pada masa yang sama melindungi dan memulihara habitat liar dan alam semulajadi di kawasan terbabit.
Oleh ADI SAFARMAN