
SARIKEI: Kehadiran buaya bersaiz besar yang masih belum berjaya ditangkap di kawasan muara anak sungai berhampiran wharf sekolah dan sekitar kawasan perairan di Telok Gelam menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk rumah panjang setempat, khususnya melibatkan keselamatan penduduk kampung yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.
Seorang pengawal keselamatan sekolah yang juga penduduk Rumah Ben, Bujing Anek, 54, berkata beliau kerap melihat kemunculan buaya di kawasan anak muara sungai perantaraan antara sekolah dan rumah panjang tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, reptilia yang kelihatan bukan sahaja bersaiz kecil, malah terdapat juga buaya besar yang masih bebas di sekitar kawasan perairan Sungai Serdeng dan Telok Gelam walaupun terdapat buaya sebelum ini telah berjaya ditangkap oleh pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menggunakan perangkap.
“Memang ada buaya besar dan kecil di sekitar kawasan sungai ini.
“Ada juga buaya yang sudah ditangkap oleh SFC, tetapi buaya besar masih ada dan ia jarang kelihatan.

“Bot saya pernah hampir terlanggar reptilia besar ini semasa dalam perjalanan balik ke Telok Gelam dari Kampung Serdeng,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di wharf Rumah Ben pada semalam.
Bujing turut menunjukkan lokasi muara sungai berhampiran wharf sekolah yang dikenal pasti sebagai kawasan kemunculan reptilia tersebut, yang bersambung secara langsung dengan sistem Sungai Rajang dan digunakan sebagai laluan harian penduduk setempat.
Katanya, seorang penduduk Rumah Ben turut pernah diserang buaya dan terselamat ketika menjala udang di kawasan Tanjung Pengaie, tidak jauh dari Telok Gelam pada tahun lalu, sekali gus menunjukkan risiko konflik manusia dan buaya telah berlaku lebih awal di kawasan sepanjang sistem Sungai Rajang berhampiran penempatan penduduk kampung.
Kampung Telok Gelam mempunyai sebuah sekolah rendah dan tiga buah rumah panjang berada dalam rangkaian Sungai Rajang menyebabkan penduduk lebih berhati-hati dan bimbang setiap kali menggunakan laluan sungai untuk aktiviti harian.
“Walaupun kehadiran buaya di kawasan sungai bukan perkara luar biasa bagi kami di sini, kemunculan reptilia-reptilia ini berhampiran laluan harian tetap membuat kami rasa tidak selamat.
“Kami sentiasa bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga yang menggunakan laluan sungai,” katanya.
Tambahnya, tindakan SFC sebelum ini memasang perangkap dan berjaya menangkap buaya di sekitar kawasan tersebut amat dihargai.
“Namun, kami di Telok Gelam masih berharap pemantauan berterusan dapat dilakukan bagi menangani kehadiran buaya besar yang masih kelihatan di sekitar kawasan sungai dari semasa ke semasa,” katanya.
Oleh Earl Anek