



SEKILAS pandang, karya yang menghiasi sudut Pameran Alir di Galeri SARENG, Menara Chan di sini sederhana seperti sapuan cat akrilik tebal, namun di sebalik ton hitam bertekstur itu, tersirat eksperimen berani menggunakan baja organik sebagai medium utama.
Pelukisnya Muhamat Ammar Idris, atau Ammar Idris, 27, berkata karya bertajuk ‘Atas Dasar’ itu terhasil daripada gabungan kira-kira 20 kilogram baja, gam polivinil asetat (PVA) dan akrilik yang menterjemahkan prinsip serta proses pertumbuhan beliau sebagai seniman.
“Atas Dasar banyak bermain dengan pandangan peribadi saya sebagai artis.Ia berkait dengan prinsip sebagai artis, sifat kreatif itu kadangkala perlu berkompromi, bukan berdiri atas usaha seorang diri semata-mata.
“Idea yang timbul juga melalui proses perbincangan. Ada ketika kita tak boleh terus mencurahkan idea menjadi karya kerana perlu berbincang dengan mentor untuk mengembangkan lagi potensi idea tersebut,” katanya ketika ditemui di kemuncak Program Residensi ILTIZAM Seni kitaran tiga, di sini baru-baru ini.
Anak kelahiran Kulim, Kedah itu berkata pemilihan baja organik dipengaruhi pengalaman residensinya selama empat bulan di Karak, Pahang yang memberi peluang kepadanya untuk berinteraksi dengan petani bagi memahami sifat bahan tersebut.
Bagi Ammar Idris, baja mempunyai nilai simbolik yang bermakna kerana bahan itu melambangkan pertumbuhan, sama seperti perjalanannya dalam dunia seni yang sentiasa berkembang dan belajar daripada pelbagai pengalaman.
Walaupun karya bersaiz lima kali enam kaki itu disiapkan dalam tempoh seminggu, beliau mengambil masa hampir dua bulan bagi fasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mendapatkan formula terbaik penggunaan baja berkenaan.
Pemilik Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Visual daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu mengakui proses penghasilan bukan mudah kerana faktor cuaca amat mempengaruhi kekuatan struktur bahan mentah tersebut.
“Saya akan gumpalkan baja bersama-sama dengan gam PVA, kemudian tuangkan di atas permukaan kanvas untuk dikeringkan di bawah matahari. Kalau guna kipas, prosesnya lambat dan struktur jadi lebih rapuh jadi memang bergantung pada cahaya matahari. Kalau hujan, memang akan terganggu,” katanya.
Selepas bahan itu kering, Ammar Idris menggunakan teknik kolaj dengan menarik, mengoyak serta menyusun semula lapisan yang terbentuk bagi mendapatkan tekstur permukaan yang diinginkan.
Mengulas pemilihan warna, beliau memilih ton biru bagi mencetuskan dualiti emosi seperti ketenangan atau kemurungan, manakala warna hitam dikekalkan mengikut sifat semula jadi bahan bagi mewujudkan keseimbangan komposisi.
Karya unik yang dihasilkan dengan ketelitian tinggi itu ditawarkan pada harga RM12,000.
Pameran Alir turut menampilkan 21 karya lain hasil sentuhan tiga lagi pelukis muda bumiputera iaitu Aliff Danial, Khairanee Iro dan Mairul Malek.
Pameran yang berlangsung hingga 16 Mei itu terbuka kepada orang ramai secara percuma. – Bernama