Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Daripada kejutan minyak kepada peluang: Membina sekuriti tenaga melalui hidrogen hijau di Sarawak
  • RENCANA

Daripada kejutan minyak kepada peluang: Membina sekuriti tenaga melalui hidrogen hijau di Sarawak

Utusan Sarawak 8 hours ago

GANGGUAN baru-baru ini di Selat Hormuz yang tercetus akibat konflik melibatkan Iran, telah mengingatkan dunia betapa cepatnya satu kejutan minyak boleh merebak ke seluruh ekonomi global. 

Apabila satu laluan utama bahan api fosil terganggu, kesannya bukan sahaja dirasai dalam pasaran tenaga, malah juga dalam aliran perdagangan, kos pengangkutan, inflasi dan keyakinan ekonomi secara keseluruhan. 

Bahan api fosil mungkin tidak akan lenyap esok, namun dalam dunia yang berdepan kejutan geopolitik yang berulang, keselamatan dan kelestarian tenaga tidak mungkin dilihat secara berasingan.

Untuk Sarawak, detik ini patut dilihat sebagai satu peluang dan bukan semata-mata suatu amaran. Sarawak berada pada kedudukan lebih kukuh berbanding banyak negara lain, lebih-lebih lagi ketika dunia berhadapan risiko kebergantungan terhadap bahan api fosil. 

Dengan dasar tenaga yang boleh diperbaharui sedia ada, melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Malaysia (METR) dan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak (SHER), Sarawak mempunyai asas untuk bangkit daripada ketidaktentuan tenaga global kepada kelebihan strategik jangka panjang.

Trem ART Berkuasa Hidrogen Sarawak.

Dalam konteks ini, hidrogen hijau bukan sahaja sebahagian daripada agenda iklim. Kini, ia telah menjadi sebahagian jalan untuk Sarawak ke arah daya tahan yang lebih tinggi, mengukuhkan keupayaan industri dan menjamin masa depan tenaga yang lestari.

Walaupun hidrogen berpotensi jauh dalam melaksanakan dasar tenaga bersih, ia wajar dibincangkan dengan adil di ruangan awam. Kerap kali ia digambarkan sebagai bahan api ajaib yang akan menyelesaikan semua masalah tenaga, atau sekadar impian yang tidak akan menjadi kenyataan. 

Oleh itu, pandangan yang lebih seimbang diperlukan. Berbeza dengan solar atau hidro yang merupakan sumber tenaga primer, hidrogen adalah pembawa tenaga dan ia mesti dihasilkan, disimpan, diangkut dan seterusnya digunakan dengan cekap. 

Kerumitan dalam rangkaian ini memang ketara, namun begitu yang lebih utama adalah kepentingan hidrogen dalam sektor yang sukar dielektrifikasi secara langsung. Ini termasuk proses-proses industri tertentu dan pengangkutan jarak jauh. 

Apabila elektrifikasi sahaja tidak mencukupi, hidrogen boleh mengukuhkan strategi tenaga bersih secara menyeluruh dan bukan untuk menggantikan semua sumber tenaga yang lain.

Potensi hidrogen

Potensi hidrogen juga jauh melangkaui pengangkutan awam seperti Transit Aliran Automasi (ART) Sarawak Metro. Dalam industri berat, hidrogen hijau semakin dilihat sebagai salah satu cara yang serius untuk menyahkarbonkan pembuatan keluli melalui proses reduksi bijih besi berasaskan hidrogen. 

Dalam sektor pengangkutan pula, penggunaannya bukan lagi terhad kepada rel atau bas. Di New Zealand, Toyota New Zealand telah menyokong pelancaran kenderaan berat berkuasa hidrogen seberat 50 tan untuk sektor logistik. 

Lori sel bahan bakar hidrogen Hyundai XCIENT telah diuji di New Zealand dan juga di Australia, menunjukkan bagaimana hidrogen boleh menyokong operasi komersial jarak lebih jauh apabila masa mengisi bahan api dan muatan menjadi keutamaan.

Kenderaan penumpang sel bahan bakar seperti Toyota Mirai yang telah berada di pasaran dan Toyota Australia Hydrogen Centre juga telah menyokong kerja-kerja pengisian semula hidrogen serta demonstrasi yang berkaitan dengan kenderaan, forklift dan sistem kuasa sandaran. 

Secara keseluruhannya, contoh-contoh ini menunjukkan bahawa hidrogen tidak terhad kepada satu bidang sahaja. Ia sudah pun diteroka merentasi logistik dan penyahkarbonan industri.

Imej perspektif 3D projek H2biscus di Sarawak.

Selain pengangkutan dan pembuatan keluli, hidrogen juga penting kerana ia sudah pun menjadi bahan suapan industri yang penting, seperti pembuatan ammonia dan metanol, dan bakal menjadi semakin bernilai apabila sektor-sektor ini beralih ke arah proses pembuatan yang lebih rendah pelepasan karbon. 

Ia juga mempunyai nilai praktikal dalam kuasa pegun dan kuasa luar grid, dengan penjana sel bahan api hidrogen kini dipasang dan diedarkan untuk aplikasi komersial di Australia dan New Zealand sebagai sebahagian daripada ekosistem hidrogen yang lebih luas untuk menyokong perniagaan dan operasi di kawasan terpencil. 

Dalam sektor maritim, sel bahan api hidrogen sudah pun digunakan dalam kapal laut di Norway dan juga dikaitkan dengan penyahkarbonan jangka panjang perkapalan melalui bahan api terbitan hidrogen seperti ammonia dan metanol. 

Penerbangan ialah aplikasi jangka lebih panjang, namun pengawal selia dan badan industri kini sudah mengkaji pesawat berkuasa hidrogen, infrastruktur lapangan terbang dan laluan pensijilan. 

Ini menunjukkan bahawa hidrogen sedang dipertimbangkan merentasi keseluruhan spektrum sektor yang sukar dikurangkan pelepasan karbonnya. 

Sumber tenaga hijau

Dalam erti kata lain, hidrogen bukan semata-mata bahan api pengangkutan. Ia lebih wajar dilihat sebagai alat tenaga

dan industri rentas sektor yang nilainya meningkat apabila elektrifikasi sahaja sukar mengurangkan pelepasan karbon.

Bagaimanapun, nilai hidrogen sebagai sumber tenaga hijau dan tempatnya dalam ekonomi hidrogen bergantung kepada cara ia dihasilkan. Hidrogen yang dihasilkan menggunakan bahan api fosil mempunyai makna yang berlainan dengan hidrogen yang dihasilkan melalui sumber tenaga elektrik yang boleh diperbaharui. 

Perbezaan ini penting kerana hidrogen hijau biasanya merujuk kepada hidrogen yang dihasilkan melalui proses elektrolisis yang dikuasakan oleh tenaga boleh diperbaharui. 

Dengan kata lain, ekonomi hidrogen adalah tentang pembinaan cara pengeluaran hidrogen yang rendah karbon dan juga menyokong dasar kelestarian dan matlamat jangka panjang.

Oleh itu, wilayah yang mempunyai bekalan elektrik boleh diperbaharui yang banyak mempunyai kedudukan lebih kukuh untuk membangunkan hidrogen hijau pada skala besar.

Di sinilah Sarawak menonjol kerana kita bukan lagi bermula dari kosong. Sarawak telah mengambil langkah-langkah awal untuk meletakkan kita dalam landskap tenaga masa depan. 

Melalui SHER, hidrogen diletakkan dalam kerangka luas yang melibatkan pembangunan ekonomi, penjagaan alam sekitar dan daya saing jangka panjang. 

Sarawak juga mempunyai kelebihan dari segi pengeluaran elektrik boleh diperbaharui melalui janakuasa hidro. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, daya maju hidrogen hijau amat bergantung kepada ketersediaan dan kos elektrik bersih.

Pelan hala tuju ini juga menonjolkan inisiatif berimpak tinggi seperti H2biscus dan H2ornbill, menunjukkan bahawa agenda hidrogen Sarawak disokong oleh perancangan, pembinaan institusi dan visi yang lebih luas. Ia merangkumi pengangkutan, kuasa, industri dan juga peluang eksport.

Semua ini merupakan petanda yang menggalakkan bahawa Sarawak sedang bersiap sedia untuk peralihan tenaga hijau dan juga peluang ekonomi yang datang bersamanya.

Kekuatan Sarawak

Kekuatan Sarawak juga terletak pada masa dan arah tindakannya. Pada ketika banyak wilayah lain masih berdebat sama ada hidrogen patut diambil serius, Sarawak telah pun bergerak ke fasa yang lebih sukar tetapi lebih penting iaitu penetapan hala tuju, pembangunan projek dan persediaan ekosistem. 

Ini tidak bermakna semua cabaran telah diselesaikan, dan juga tidak bermaksud hidrogen akan menjadi jawapan bagi setiap masalah tenaga. Ia bermaksud Sarawak sedang membina asasnya lebih awal. 

Dalam persekitaran tenaga global yang berubah pantas, kemajuan berpihak kepada mereka yang bersedia lebih awal daripada permintaan, bukannya mereka yang menunggu sehingga segala-galanya benar-benar pasti. 

Dalam hal ini, kesediaan Sarawak untuk melabur dalam kejelasan dasar, perancangan infrastruktur dan keupayaan masa depan wajar diberikan pengiktirafan.

Bagi Sarawak sekarang, persoalan strategik sebenarnya bukan sama ada hidrogen patut menggantikan segala-galanya. Persoalannya ialah di mana hidrogen paling sesuai untuk digunakan, dan bagaimana Sarawak boleh memanfaatkan kelebihan sedia ada untuk membina nilai jangka panjang dengan bertanggungjawab. 

Jawapannya berkemungkinan melibatkan gabungan aplikasi domestik, keupayaan industri, pembangunan rantaian bekalan, latihan kemahiran dan peluasan aplikasi secara terpilih dari semasa ke semasa. 

Tempat yang paling mendapat manfaat daripada fasa seterusnya peralihan tenaga ialah mereka yang berjaya membina ekosistem yang kukuh dari segi infrastruktur yang boleh dipercayai, keupayaan teknikal, kejelasan dasar, piawaian keselamatan, keyakinan pelaburan dan kepercayaan awam. 

Jika dilihat dari sudut itu, Sarawak sedang bergerak ke arah yang betul.

Dari hal itu, pendidikan awam tentang hidrogen menjadi sangat penting. Hidrogen mesti difahami bukan sahaja sebagai teknologi, tetapi sebagai satu ekosistem. 

Inilah ruang di mana kepimpinan yang mantap dan komitmen dasar jangka panjang menjadi penting dalam membantu orang awam memahami kedua-dua potensi dan disiplin yang diperlukan. 

Pandangan awam yang adil terhadap hidrogen tidak seharusnya meromantikkannya dan tidak juga memperlekehkannya. Sebaliknya, ia perlu membantu masyarakat memahami mengapa hidrogen itu penting, di mana tempatnya, dan apa yang diperlukan untuk menjadikannya berguna, selamat dan benar-benar rendah karbon.

Hujah untuk Sarawak terus komited kepada tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen hijau bukanlah hujah berasaskan gembar-gembur. Ia adalah hujah berasaskan keyakinan, pandangan jauh dan cita-cita yang bertanggungjawab. 

Model lama yang berpusat pada bahan api fosil semakin menunjukkan kerentanannya terhadap gangguan geopolitik, turun naik harga dan tekanan kelestarian jangka panjang. 

Sarawak pula sebaliknya mempunyai sumber boleh diperbaharui, haluan dasar dan peluang sebenar untuk membina keupayaan masa depan dengan tujuan yang jelas. 

Masa depan jarang menjadi milik mereka yang menunggu kepastian yang sempurna. Selalunya ia menjadi milik mereka yang mengenal arah perubahan lebih awal dan seterusnya bersedia dengan perubahan tersebut.

Hidrogen hijau bukanlah satu-satunya jawapan dan juga ia bukanlah jawapan yang menyeluruh. Tetapi, ia merupakan salah satu alat peralihan tenaga yang mustahak, dan Sarawak mempunyai sebab yang kukuh untuk membangunkannya dengan cermat, penuh keyakinan, sambil mengutamakan kepentingan awam.

  • Muhammad Rafiq Mirza Julaihi adalah Pensyarah, Swinburne University of Technology Sarawak. 

Continue Reading

Previous: S.E.B.E.L.U.M terlambat
Next: Baja organik medium karya seni unik Ammar Idris

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.