
LINGGA: Tahun enam merupakan fasa kritikal dalam perjalanan pendidikan murid kerana ia bukan sekadar penamat kepada alam sekolah rendah, sebaliknya menjadi pintu masuk ke peringkat menengah yang lebih mencabar.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, kejayaan murid Tahun Enam tidak harus diukur semata-mata melalui pencapaian akademik, tetapi turut merangkumi pembentukan sahsiah, disiplin serta keyakinan diri.
Menurut beliau, persekitaran sekolah menengah menuntut tahap kematangan yang lebih tinggi, termasuk kebolehan mengurus masa dan daya tahan menghadapi pelbagai cabaran.
“Justeru, motivasi dan persediaan mental yang kita tanam hari ini akan menjadi bekalan berharga untuk mereka melangkah ke fasa seterusnya. Peranan ibu bapa dan masyarakat amat besar dalam memastikan anak-anak terus cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Penyertaan Program Motivasi Pelajar Tahun Enam serta Ceramah Bimbingan Ibu Bapa dan Advokasi Kanak-kanak Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, di sini semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Residen Sri Aman, Mahra Salleh, Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Abdul Rahman Muhiyuddin serta Pengarah PCCL Dr Kamarudin Kana.

Dalam pada itu, Dr Annuar menegaskan sokongan moral, perhatian terhadap pembelajaran serta advokasi hak dan kebajikan kanak-kanak merupakan asas penting dalam membentuk generasi cemerlang.
“Anak-anak yang merasa dihargai dan dilindungi akan lebih bersemangat untuk belajar dan berusaha,” jelasnya.
Tambah beliau, ceramah bimbingan ibu bapa yang dianjurkan dalam program berkenaan bertujuan memperkukuh kefahaman bahawa kejayaan anak-anak adalah hasil kerjasama erat antara keluarga, sekolah, masyarakat dan pihak berkepentingan.
Beliau turut menggalakkan ibu bapa agar memberi sokongan sekiranya anak-anak terpilih melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh, walaupun terpaksa berjauhan.
“Saya yakin peluang seperti ini mampu menjamin masa depan anak-anak menjadi individu yang berjaya,” katanya.

Selain itu, Dr Annuar memaklumkan bahawa sukarelawan Sijil Profesional dalam Kepimpinan Kontemporari (PCCL) telah menerapkan pendekatan “Contemporary Leadership” sepanjang program, yang menekankan nilai empati, komunikasi berkesan, kerja berpasukan dan kepimpinan melalui teladan.
Pendekatan tersebut, katanya, bukan sahaja memberi motivasi kepada pelajar, malah mewujudkan suasana pembelajaran yang inklusif dan menyeronokkan.
“Anak-anak belajar bahawa kepimpinan bukan sekadar memimpin orang lain, tetapi juga memimpin diri sendiri untuk menjadi insan berdisiplin, bertanggungjawab dan berjiwa besar,” ujarnya.
Beliau berharap semua pelajar Tahun Enam yang terlibat akan membawa semangat motivasi itu ke sekolah menengah kelak, dengan menjadikan ilmu sebagai bekalan, disiplin sebagai panduan serta doa ibu bapa dan guru sebagai kekuatan.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada guru-guru atas dedikasi berterusan serta sukarelawan PCCL atas usaha murni dalam memberi inspirasi kepada pelajar.
Program berkenaan katanya turut membuktikan keprihatinan ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor terhadap pembangunan pendidikan anak-anak sejak peringkat awal.
Program Motivasi Pelajar Tahun Enam dan Ceramah Bimbingan Ibu Bapa serta Advokasi Kanak-kanak DUN Lingga merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pemerkasaan dan Kesihatan Komuniti DUN Lingga yang berlangsung selama tiga hari.
Inisiatif itu dirangka sebagai pendekatan menyeluruh bagi memperkasakan komuniti luar bandar melalui aspek pendidikan, kepimpinan, keusahawanan, kesihatan dan kebajikan sosial.
Oleh Adi Safarman