KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak mencatat lembaran baharu dengan menandatangani Memorandum Persetujuan (MoA) bersama Jabatan Tanah dan Survei dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama persatuan Gerakan Penyelidikan Dan Pembangunan Singai (REDEEMS) dan Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS).
Menurut Ketua Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Hamid Bugo, Pustaka Negeri bukan sahaja merupakan pusat ilmu pengetahuan dan informasi, malah membina komuniti yang berilmu dan akan menjadi satu signifikan kepada kita melalui memorandum ini.
“Kita sekarang perlu berdepan zaman digital yang mana data tepat merupakan aset bernilai untuk kita bergerak maju ke hadapan.
“Melalui MoU dan MoA bersama agensi ini, Pustaka Negeri akan menjadi tempat penting yang akan menjadi rujukan banyak pihak termasuk masyarakat dan komuniti yang mana kebanyakan data terutama melalui Jabatan Tanah dan Survei (JTS) akan disimpan di sini,” katanya yang menyaksikan Majlis Tandatangani MoA dan MoU bersama REDEEMS dan UCTS di Pustaka Negeri semalam.
MoA bersama JTS akan membolehkan salinan digital dan rekod jabatan kaji selidik akan disimpan di satu pusat bagi tujuan mikrofilem selain membolehkan perkongsian pengetahuan mengenai maklumat geografi apabila diperlukan.
Selain itu, usaha Pustaka Negeri untuk menyalurkan ilmu pengetahuan dan informasi kepada kawasan luar bandar akan menjadi kenyataan melalui MoU bersama REDEEMS yang mana kerjasama ini membolehkan perpustakaan untuk komuniti dibina di Pusat REDEEMS di Jalan Apar-Segong, Bau.
Melalui persefahaman ini, REDEEMS bersetuju untuk menyediakan ruang untuk perpustakaan dan Pustaka akan mengendalikan perkhidmatan ini yang mana kos untuk menubuhkan perpustakaan sekitar RM 292,250 dan kos operasi sekitar RM98,300 untuk tempoh setahun.
MoU antara Pustaka Negeri bersama UCTS juga akan membolehkan pelajar mengakses bahan perpustakaan selain menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak Pustaka.
“Lobi perpustakaan akan digunakan untuk pameran projek Sekolah Seni Bina (SBE) selain akses untuk penggunaan arkib perpustakaan.
“Pustaka Negeri juga akan menyediakan bilik khas sebagai pusat sumber kecil UCTS untuk pelajarnya,” jelasnya.
Turut hadir, Pengarah JTS, Abdullah Julaihi, Naib Canselor UCTS, Khairuddin Hamid, Presiden REDEEMS dan Datuk Peter Nansian Ngusie dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Rashidah Bolhassan.
Oleh ASYRAF HALIM