SARATOK: Isu kebakaran rumah panjang kini berada pada tahap membimbangkan kerana banyak kes melibatkan kejadian serupa berlaku sejak kebelakangan ini.
Residen Bahagian Betong, Friday Belik berkata, masalah ini mendatangkan pelbagai kesan negatif, khususnya penduduk ditimpa musibah yang pastinya mengalami kerugian kehilangan harta benda.
“Jika kita menilai daripada aspek kewangan, kerugian ditanggung penduduk dilanda musibah ini mencecah nilai jutaan ringgit.
“Situasi ini jelas memberi satu tamparan dan beban amat berat kepada keluarga terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Bomba @ Komuniti di Rumah Andrew Dana, Sungai Isu dekat sini semalam.
Jelas Friday, melalui situasi ini masyarakat rumah panjang harus memikir satu langkah drastik mengatasi dan tidak memandang remeh langkah keselamatan.
“Melalui pemantauan dan siasatan dilakukan pihak berkaitan, kebanyakan punca berlakunya kebakaran membabitkan rumah panjang di negeri ini disebabkan kecuaian, di samping beberapa faktor sampingan lain,” ujarnya.
Justeru dengan perkara ini, kata Friday, masyarakat rumah panjang perlu memandang lebih serius perkara membabitkan risiko dan masalah kebakaran rumah panjang yang kerap berlaku kebelakangan ini.
Sementara itu Friday turut menyarankan agar setiap rumah panjang mempunyai alat pemadam api sebagai langkah keselamatan untuk mencegah berlakunya kebakaran.
“Alat pemadam api amat penting dalam memastikan pencegahan dan pemadaman api peringkat awal dapat dilakukan jika kebakaran berlaku di rumah panjang sebelum ketibaan bomba,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok dengan kerjasama Majlis Daerah Saratok bergabung menganjurkan program Bomba @ Komuniti di Rumah Andrew Dana, Sungai Isu melibatkan empat buah rumah panjang di kawasan itu.
Pada program itu, anggota bomba telah memberi ceramah tentang keselamatan serta demontrasi cara menggunakan pili bomba serta memadam api dengan lebih berkesan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Saratok, Haaron Mahidi.
Oleh ADI SAFARMAN