
MUKAH: Cadangan Kementerian Kewangan untuk mengurangkan perbelanjaan operasi sebanyak RM3.06 bilion membabitkan sektor kesihatan dijangka tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, cadangan itu merupakan sebahagian usaha mengukuhkan kedudukan fizikal negara dan dijangka tertumpu kepada perkara yang tidak memberi impak langsung kepada rakyat.
Beliau berkata, antara langkah penjimatan yang boleh dipertimbangkan termasuk mengurangkan promosi secara fizikal dan beralih kepada penggunaan media sosial atau kerjasama dengan rakan strategik.
“Apa yang penting, langkah tersebut tidak memberi kesan kepada rakyat. Kita perlu berwaspada dan mengambil langkah sementara supaya perkara utama tidak terjejas,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Kementerian Kewangan untuk mengurangkan perbelanjaan operasi sebanyak RM5.4 bilion membabitkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi, selepas merasmikan Program Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Bahagian Mukah di Tapak Kaul, hari ini.
Hanifah berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai cadangan itu, namun belum menerima penjelasan terperinci.
Mengulas kesan geopolitik global yang mempengaruhi harga barangan, khususnya susulan konflik geopolitik di Asia Barat.
Datuk Hanifah, menyarankan rakyat supaya mengamalkan penjimatan kendiri dalam menghadapi situasi luar kawalan.

Katanya, kerajaan akan terus mengambil langkah berwaspada bagi memastikan perkhidmatan kesihatan kekal terjamin dalam jangka panjang.
“Kerajaan akan menanggung apa yang mampu, namun demi masa depan, kita juga perlu berusaha untuk berjimat,” katanya.
Katanya lagi, cadangan penjimatan itu bukan dilakukan secara sengaja, sebaliknya satu keperluan memandangkan Malaysia turut terkesan dengan isu global seperti sekatan minyak dan peningkatan kos barangan import.
Sementara itu, mengulas tentang hala tuju siri jelajah ANMS, Hanifah berkata, program itu akan diteruskan ke Sabah sebelum ke Betong.
Beliau berkata, perancangan seterusnya masih tertumpu kepada lokasi berkenaan berdasarkan situasi semasa yang memerlukan penelitian rapi.
“Saya tidak pasti sama ada ia dapat dilanjutkan ke lokasi lain kerana kita perlu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.
“Kita memahami keperluan mengurangkan perbelanjaan bagi memastikan perkara lebih penting mempunyai dana mencukupi untuk kelestarian masa depan,” katanya.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian yang juga Presiden Persatuan Melanau Mukah Abdul Yakub Arbi, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Veronica Lugah, Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Program Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Bahagian Mukah Dr Muhammad Najib bin Hasan @ Ahmad dan yang lain.
Oleh Akun Giman