
SIBU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menegaskan bahawa kekuatan pasukan bukan terletak pada keseragaman, sebaliknya pada keupayaan menyatukan kepelbagaian peranan dan pandangan dalam menghadapi cabaran operasi.
Pengarah JBPM Sarawak, PKPjB Jamri Masran berkata, tema ‘Kesatuan Bukan Keseragaman’ yang diketengahkan pada majlis Perhimpunan Bulanan April 2026 di Zon 4 Sibu amat penting dalam memperkukuh keupayaan pasukan.
Menurutnya, warga JBPM terdiri daripada pelbagai fungsi termasuk operasi, penyiasatan, pentadbiran dan logistik yang saling melengkapi dalam membentuk pasukan yang cekap dan berkesan.
“Kesatuan tidak bermaksud kita semua perlu berfikir dan bertindak sama, tetapi bagaimana kita menghargai perbezaan untuk mencapai satu matlamat yang sama.
“Dalam operasi kebombaan, keupayaan membuat keputusan yang pantas dan berbeza kadangkala menjadi penentu antara kejayaan dan kegagalan sesuatu misi,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah di sini hari ini.
Jamri turut menggesa warga jabatan agar mengamalkan komunikasi terbuka, menghormati pandangan rakan sekerja serta memperkukuh semangat kerja berpasukan tanpa mengira pangkat dan jawatan.

Beliau berkata, sempena ulang tahun ke-50 JBPM, aspirasi ‘KITA BOMBA’ diperkenalkan bagi memperkukuh legasi dan memacu transformasi jabatan, dengan penekanan terhadap lima prinsip utama iaitu keberanian, integriti, merit, penjenamaan unggul dan pencapaian.
Menyentuh aspek pengukuhan perkhidmatan, beliau berkata, jabatan memberi tumpuan kepada pemerkasaan pasukan khas, penambahbaikan peralatan serta peningkatan kebajikan anggota.
“Bagi pasukan khas, pengisian penuh dijangka selesai menjelang 2027 bagi memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap optimum.
“Selain itu, Sarawak dijangka menerima 25 unit Kenderaan Operasi Ringan (LOV) daripada keseluruhan 160 unit yang akan diagihkan secara berperingkat,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 6,000 pasang pakaian perlindungan tahan api (FRS) turut diperoleh bagi meningkatkan keselamatan anggota semasa operasi.
Beliau berkata, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM10 juta bagi penyelenggaraan kuarters bomba melibatkan 107 projek di seluruh negara termasuk 169 unit di Sarawak.
“Selain itu, dana tambahan RM10 juta turut disalurkan melalui Kumpulan Wang Kebajikan Bomba bagi kemudahan kebajikan, sukan, rekreasi dan penyelenggaraan balai,” katanya.
Jamri menzahirkan penghargaan kepada anggota bomba yang berdepan cabaran geografi di Sarawak termasuk operasi merentas sungai dan kawasan pedalaman.
“Namun, cabaran ini bukan halangan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada keberanian dan kecekapan warga bomba dalam melaksanakan tugas menyelamat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan media atas kerjasama berterusan dalam menyalurkan maklumat dan meningkatkan kesedaran awam berkaitan keselamatan kebakaran.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan insentif kecemerlangan pendidikan anak pegawai dan anggota JBPM dalam SPM dan Sarjana Muda Kejuruteraan Minyak dan Gas, sumbangan kebajikan kepada dua anggota BBP Sungai Merah dan sijil penghargaan kepada pengamal media.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua JBPM Zon Sibu, Andy Alie.
Oleh Akun Giman