
GENEVA: Jumlah tahunan jangkitan baharu hepatitis B menurun sebanyak 32 peratus di seluruh dunia, manakala kematian berkaitan hepatitis C menurun 12 peratus, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam, sambil menyifatkan kemajuan itu sebagai signifikan tetapi masih tidak mencukupi untuk mencapai sasaran penghapusan.
Menurut Laporan Hepatitis Global WHO 2026, penurunan ini mencerminkan usaha global yang berterusan, walaupun virus hepatitis masih menyebabkan 1.34 juta kematian pada 2024 dan terus menjangkiti 1.8 juta orang setiap tahun, lapor Anadolu Ajansi.
“Di seluruh dunia, negara menunjukkan bahawa penghapusan hepatitis bukanlah sesuatu yang mustahil; ia boleh dicapai dengan komitmen politik berterusan yang disokong pembiayaan domestik yang kukuh,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Pada masa sama, beliau memberi amaran yang kemajuan masih “terlalu perlahan dan tidak sekata.”
Laporan itu juga mendapati kadar hepatitis B yang tersebar luas dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun menurun kepada 0.6 peratus, dengan 85 negara mencapai atau melepasi sasaran 2030 sebanyak 0.1 peratus.
WHO menyatakan 287 juta orang hidup dengan jangkitan hepatitis B atau C kronik pada 2024, manakala jurang rawatan masih ketara, dengan kurang daripada 5.0 peratus penghidap hepatitis B kronik menerima rawatan.
“Data menunjukkan kemajuan adalah mungkin tetapi turut mendedahkan di mana kita masih ketinggalan,” kata Tereza Kasaeva, Pengarah Jabatan HIV, TB, Hepatitis dan Penyakit Jangkitan Kelamin WHO.
Agensi kesihatan PBB itu menggesa pengembangan lebih pantas dalam pencegahan, saringan dan rawatan bagi mencapai sasaran 2030. – Bernama