
KUALA LUMPUR: Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) wajar diperkasa dan dijadikan pilihan kerjaya utama, sejajar dengan peranannya yang semakin penting sebagai pemacu ekonomi di negara-negara maju.
Setiausaha Kongres Pendidikan Bumiputera 2026, Datuk Dr Khairul ‘Azmi Mohamad berkata, persepsi masyarakat yang menganggap TVET sebagai pilihan kelas kedua perlu dikikis kerana bidang itu kini mampu melahirkan tenaga profesional berkemahiran tinggi.
“Realiti hari ini, termasuk di negara-negara maju membuktikan bahawa TVET merupakan ruang untuk meraih pendapatan tinggi dan juga sumber kekayaan yang baharu.
“Kita tidak bercakap tentang TVET dalam konteks seperti perburuhan dan sebagainya, tetapi kita mahu melihat orang yang kuasai ilmu TVET itu ke tahap yang sangat tinggi,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk Kongres Pendidikan Bumiputera Memacu Masa Depan terbitan Bernama TV, di sini hari ini.
Mengulas mengenai penganjuran Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 yang dijadual berlangsung pada 1 Mei ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Khairul ‘Azmi berkata, kongres yang diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun UMNO ke-80 itu adalah bagi menilai semula dasar pendidikan sedia ada dalam mendepani cabaran masa hadapan.
“Secara khususnya kongres ini disasarkan untuk membuat transformasi dalam bidang pendidikan kita…di situ nanti kita akan rumuskan hala tuju yang sepatutnya diambil oleh bumiputera,” katanya.
Khairul ‘Azmi berkata, kongres berkenaan turut dijangka menyentuh kepentingan memiliki kelayakan akademik nasional bagi pelajar tahfiz, supaya mereka tidak terpinggir daripada arus perdana pendidikan negara.
“Alangkah baiknya kalau mereka turut berada dalam sistem ini. Di sinilah kita mahu pertingkatkan mereka supaya sistem dan kurikulumnya dapat dipantau, diberi nilai tambah dan dalam masa yang sama mereka memiliki kelayakan kebangsaan,” katanya. – Bernama