
LUBOK ANTU: Kesedaran mengenai keselamatan keluarga dan pencegahan jenayah terus diperkasa menerusi penganjuran Program Engagement Amanita “Meet and Greet” yang berlangsung di sekitar Pekan Lubok Antu, kelmarin.
Inisiatif ini merupakan langkah proaktif pihak berkuasa dalam mendekati masyarakat setempat secara lebih santai dan berkesan.
Menurut kenyataan media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu berkata, program tersebut bertujuan untuk membina jambatan komunikasi yang lebih kukuh antara pihak polis dan penduduk. Kehadiran anggota polis di kawasan tumpuan awam membolehkan perkongsian maklumat dilakukan secara terus tanpa protokol yang ketat.
Sesi penglibatan kali ini dijayakan oleh seramai tiga orang anggota AMANITA yang diketuai oleh Sarjan Mejar Nur Erdina Marini @ Dorothy Bernard Betti. Kehadiran barisan anggota wanita ini dilihat lebih memudahkan interaksi dengan golongan suri rumah dan wanita bekerjaya yang menjadi sasaran utama program tersebut.
Hasil daripada tinjauan dan aktiviti “Meet and Greet” tersebut, pihak polis berjaya mendaftarkan seramai tujuh orang awam sebagai Rakan Amanita yang baharu. Penyertaan ini amat penting bagi mewujudkan rangkaian pemberi maklumat dalam komuniti untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan kejiranan mereka.
Antara pengisian utama program adalah sesi penerangan mengenai peranan AMANITA dalam menjaga keamanan setempat. Selain itu, edaran risalah pencegahan jenayah turut diberikan bagi memastikan penduduk sentiasa berwaspada terhadap ancaman sekeliling yang mungkin berlaku tanpa diduga.

Bagi mengadaptasi penggunaan teknologi dalam pencegahan jenayah, pihak polis turut mempromosikan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP). Orang awam digalakkan memuat turun aplikasi tersebut bagi memudahkan penyaluran maklumat atau aduan kecemasan secara pantas terus ke bilik gerakan polis.
Selain aspek pencegahan jenayah am, tumpuan turut diberikan kepada isu-isu sosial yang kritikal. Para peserta diberikan nasihat berkaitan cara menangani keganasan rumah tangga, menjaga keselamatan ahli keluarga, serta didedahkan dengan taktik-taktik terbaharu yang sering digunakan oleh sindiket penipuan atau scammer.
Secara keseluruhannya, program ini berjalan dengan lancar dan menerima sambutan yang amat positif daripada warga Lubok Antu.
Usaha murni IPD Lubok Antu ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran keselamatan, malah terbukti berkesan dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara PDRM dan komuniti, khususnya golongan wanita di daerah tersebut.
Oleh Adi Safarman