
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam menggesa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah supaya berbincang dengan penduduk bagi menjelaskan kepentingan projek Lebuhraya Pan Borneo, termasuk dalam aspek melibatkan isu pampasan.
Dr Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah berkata terdapat kes melibatkan penduduk yang telah menerima notis pengosongan, namun masih belum menerima bayaran pampasan antara lain berpunca daripada isu dokumentasi tidak lengkap atau tidak bersetuju dengan nilai pampasan ditawarkan.
“…Kita kena bersetuju (bahawa) Pan Borneo ialah pencetus perubahan buat Sabah, amat penting dan kita juga harus ada pengorbanan sedikit.
“Jadi, saya mahu setiap Ahli Yang Berhormat, apabila ada keadaan seperti ini, kita berbincang dengan penduduk tentang kepentingan jalan tersebut,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal (Warisan-Silam) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.
Mohammad Yusof membangkitkan kebimbangan berhubung tindakan perobohan melibatkan penduduk yang didakwa belum menerima pampasan termasuk membabitkan rumah berstatus geran serta kampung yang diwartakan.
Dr Joachim berkata projek Lebuhraya Pan Borneo ialah satu inisiatif penting yang berpotensi menjadi pemangkin pembangunan negeri, sekali gus memerlukan sokongan semua pihak.
Bagi pakej projek di kawasan DUN Silam, katanya, pelaksanaan masih pada peringkat awal dengan kemajuan fizikal kurang daripada 30 peratus, sekali gus memberikan ruang untuk perbincangan lanjut antara pihak terlibat.
Beliau berkata status pembayaran pampasan bagi pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di DUN Silam dan Parlimen Lahad Datu sedang dilaksanakan secara berperingkat, bergantung pada jenis tanah serta pematuhan prosedur ditetapkan.
Katanya, bagi tanah yang mempunyai hak milik sah, proses pengeluaran tawaran pampasan kepada pemilik terlibat sedang dilaksanakan selaras dengan Ordinan Pengambilan Tanah Sabah (Bab 69).
“Bagi lot tanah yang mempunyai hak milik sah, telah dikenal pasti serta diwartakan, proses pengeluaran tawaran pampasan kepada pemilik terlibat sedang dilaksanakan.
“Pembayaran akan dibuat oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah setelah semua dokumen persetujuan lengkap diterima daripada pemilik, dan bayaran akan dibuat secara berperingkat,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Joachim berkata pembayaran pampasan bagi tanah kerajaan masih belum dapat diproses berikutan perintah rasmi daripada Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah Daerah belum dikeluarkan.
Beliau turut menjelaskan bahawa tiada pampasan diberikan kepada struktur dalam rizab jalan selaras dengan dasar dan arahan agensi pelaksana.
Bagaimanapun, katanya, bagi struktur dalam rizab selain rizab jalan seperti rizab sungai atau utiliti, bayaran sagu hati boleh dipertimbangkan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
“Pertimbangan bayaran sagu hati boleh diberi tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan dan penilaian oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah berdasarkan garis panduan semasa,” katanya.
Beliau berkata kementeriannya turut mengesahkan peruntukan bagi pembayaran pampasan kepada pemilik yang layak telah disediakan dan akan disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah bagi memastikan pembayaran dilaksanakan secara teratur, telus dan mengikut prosedur ditetapkan. – Bernama