Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • “The Last Kopek: Senariounion 30 tahun” himpun peminat rentas generasi, sarat nostalgia dan emosi
  • HIBURAN

“The Last Kopek: Senariounion 30 tahun” himpun peminat rentas generasi, sarat nostalgia dan emosi

Utusan Sarawak 8 hours ago

PETALING JAYA: Gelak tawa bersulam emosi memenuhi auditorium Idea Live Arena di sini pada Sabtu malam, apabila kumpulan lawak legenda Senario meraikan perjalanan tiga dekad mereka sebagai anak seni menerusi konsert The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun.

Konsert anjuran Dreamscape Events dan terbitan Kapla Entertainment itu membuka tirai pada 8.45 malam dengan kemunculan ahlinya Azlee, Wahid, Mazlan Pet Pet, Saiful Apek, Yassin dan Ilya Buang (Pak Ya) di atas pentas disambut sorakan penonton daripada pelbagai generasi.

Sorakan bertambah gamat apabila rangkaian lagu yang cukup sinonim dengan kumpulan itu dimainkan iaitu Kerja, Cinta Sate, Boria Miskin Kaya dan Dikir Barat Siang Malam, membuatkan peminat yang rata-rata mengenakan pakaian tradisional Melayu turut sama menyanyi.

Seusai dendangan lagu dalam segmen itu, penonton dibawa mengimbau detik awal Senario ketika menyertai program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan serta cabaran awal dalam perjalanan menuju populariti mereka.

Sketsa yang dipersembahkan turut membuatkan penonton tidak kering gusi dengan jenaka spontan mereka sebelum kembali dihiburkan dengan lagu-lagu popular mereka seperti  Lip Lap Lip Lap, Hukum, Motor Kapcai dan Cinta Berkarat yang menghidupkan kembali momen klasik Senario. 

Suasana di auditorium bertukar pilu ketika lagu Doa Untuk Ayah, dipersembahkan sebagai penghormatan kepada Allahyarham Hamdan Senario, iaitu ahli asal kumpulan tersebut yang meninggal dunia pada 5 Jan 2024.

Di atas pentas yang menampilkan tujuh bangku, enam diduduki oleh ahli Senario manakala satu lagi dibiarkan kosong sebagai simbolik ketiadaan beliau. 

Di tengah-tengah persembahan, anak ketiga arwah, Muhamad Syazreen Haqem, 25, naik ke pentas dan meneruskan dendangan lagu yang merupakan nyanyian asal ayahnya itu, dan lirik di akhir lagu diubah kepada “…sejahterakan babah (dia)” membuatkan ahli Senario turut mengalirkan air mata.  

Selain itu, trofi Artis Komedi Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-36 yang dimenangi Senario diserahkan kepada Muhamad Syazreen Haqem sebagai simbolik penghargaan kepada arwah, diikuti penyerahan poster konsert itu yang turut menampilkan gambar Allahyarham.

Selepas detik penuh emosi itu, pentas kembali dihidupkan dengan perkongsian ringkas oleh setiap ahli Senario akan kisah-kisah Allahyarham Hamdan yang jarang diketahui orang, disusuli bacaan al-Fatihah buat arwah.  

Memasuki segmen ketiga, suasana kembali ceria apabila kesemua ahli Senario tampil segak berbaju Melayu dan menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu raya seperti Puasa dan Raya, Bila Lagi Nak Jumpa serta Seminggu Berhari Raya, meskipun bulan Syawal telah berakhir.

Menariknya, walaupun usia masing-masing di penghujung 40-an hingga 50-an, mereka masih kelihatan bertenaga menyanyi dan menari sepanjang hampir tiga jam konsert berlangsung.

Kehadiran Aina Abdul sebagai tetamu istimewa menerusi lagu Joget Toleh Menoleh, Zapin Cinta SMS dan Zapin Usik Mengusik menjadi elemen kejutan buat peminat, dengan penyanyi itu meluahkan kegembiraan dapat berkongsi pentas dengan kumpulan legenda berkenaan.

Walaupun Zapin Usik Mengusik diumumkan sebagai lagu terakhir, penonton diberikan satu lagi kejutan dengan tiga lagu tambahan, iaitu  Aspalela, Sebelum Sesudah dan Cari Tapak, yang menyaksikan penonton berdiri dan menyanyi bersama-sama sebelum konsert melabuhkan tirai pada 11.25 malam.

Biarpun sudah 30 tahun dalam industri, Senario membuktikan mereka masih relevan dan dapat dilihat menerusi kehadiran peminat lama dan baharu dalam satu malam yang sarat dengan gelak tawa, kenangan dan penghargaan.

Ditubuhkan pada 1996 menerusi gabungan finalis program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan, Senario pernah mencipta kejayaan apabila memenangi kategori Penghibur TV Popular pada 1998 dan 2000, serta kali terakhir membawa pulang trofi ABOBH pada 2001 menerusi kategori Artis Duo/Berkumpulan Popular. – Bernama

Continue Reading

Previous: Sulaiman Usop tampil dengan single baharu Pergilah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.