Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Elaun Tingkatan Enam: Anjakan paradigma ke arah keadilan pendidikan – GPMS
  • PENDIDIKAN

Elaun Tingkatan Enam: Anjakan paradigma ke arah keadilan pendidikan – GPMS

Utusan Sarawak 17 hours ago
GAMBAR hiasan. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Penelitian kerajaan terhadap pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam disifatkan sebagai anjakan paradigma yang signifikan selain perubahan pragmatik ke arah mewujudkan keadilan pendidikan di Malaysia.

Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wafiyuddin Musa yang menyambut baik usaha itu berkata inisiatif berkenaan bukan sekadar bantuan kewangan, malah pengiktirafan rasmi terhadap prestij Tingkatan Enam sebagai laluan utama yang kompetitif dan berkualiti ke institusi pengajian tinggi.

Beliau berkata langkah menyetarakan insentif antara pelajar Tingkatan Enam dan program Matrikulasi itu berpotensi menghapuskan stigma pilihan kedua yang sekian lama membelenggu pelajar aliran Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Dengan sokongan kewangan yang setara, kedudukan STPM akan diangkat sebagai laluan perdana yang mempunyai daya saing tinggi, sekali gus meningkatkan motivasi pelajar untuk memilih aliran ini sebagai pilihan utama tanpa rasa ragu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dari sudut kelestarian sosioekonomi, beliau berkata pemberian elaun itu adalah pelaburan modal insan yang strategik selain berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang amat diperlukan.

Wafiyuddin berkata inisiatif itu mampu meringankan beban keluarga, khususnya golongan B40 dan M40 yang berdepan peningkatan kos sara hidup termasuk menampung keperluan kritikal pelajar seperti pembelian bahan rujukan, kos pengangkutan dan perbelanjaan harian.

“Kesannya, pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kecemerlangan akademik tanpa terbeban dengan kekangan kewangan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata GPMS menggesa proses permohonan dirangka secara inklusif dan mesra pengguna, khususnya bagi memudahkan akses pelajar di kawasan luar bandar, selain penyaluran bantuan dilaksanakan tanpa birokrasi yang merumitkan bagi memastikan ia sampai kepada penerima tepat pada masanya.

Beliau berkata GPMS turut menyarankan kerajaan supaya memanfaatkan pangkalan data sedia ada supaya proses penentuan kelayakan dapat dilakukan secara automatik tanpa membebankan pelajar dengan dokumentasi fizikal.

“GPMS optimis apabila kebajikan pelajar terus diperkasa, kualiti dan standard akademik negara akan meningkat secara holistik. Kami berharap penelitian ini dapat direalisasikan dalam masa terdekat demi masa depan modal insan negara yang lebih adil dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan sedang meneliti untuk memberikan elaun kepada pelajar tingkatan enam, sama seperti yang dinikmati pelajar program matrikulasi.

Anwar berkata perkara itu selari dengan langkah pengambilalihan sistem pendidikan prauniversiti melibatkan pelajar tingkatan enam dan matrikulasi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang sebelum ini berada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM). – Bernama

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Pendidikan kunci ubah kehidupan masyarakat – ADUN Krian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.