

BINTULU: Pasukan boling tenpin Sarawak terus mencipta kejayaan cemerlang apabila berjaya membawa pulang kutipan keseluruhan 27 pingat emas pada Sukan Olimpik Khas Kebangsaan 2026, sekali gus mencerminkan peningkatan prestasi yang membanggakan dalam kalangan atlet berkeperluan khas negeri ini.
Ketua jurulatih boling Sarawak, Mai Leng Koh menyifatkan pencapaian tersebut sebagai sangat baik dan di luar jangkaan.
“Saya tidak sangka pasukan Sarawak mampu meraih sehingga 27 pingat emas, namun ini adalah hasil usaha keras atlet serta sokongan padu semua pihak,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan emas Sarawak ini diraih melalui beberapa kategori utama yang dipertandingkan, antaranya acara perseorangan lelaki 18 tahun ke atas dan acara perseorangan lelaki bawah 18 tahun yang menyaksikan dominasi atlet muda serta senior negeri ini.
Sarawak turut cemerlang dalam acara perseorangan wanita 18 tahun ke atas, selain kejayaan dalam acara berpasukan menerusi acara beregu lelaki dan acara beregu wanita yang memperlihatkan persefahaman mantap dalam kalangan atlet.
Tidak ketinggalan, kategori bersepadu turut menjadi penyumbang besar apabila Sarawak mengungguli acara beregu lelaki bersepadu serta acara beregu campuran bersepadu.
Tambah beliau, semua atlet yang mewakili Sarawak berjaya membawa pulang pingat dan tiada yang pulang tanpa medal, sekali gus membuktikan tahap persediaan dan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang kejohanan.
“Semua gembira, tiada yang pulang tanpa medal. Setiap atlet ada sumbangan masing-masing,” jelasnya.
Mengulas mengenai cabaran sepanjang kejohanan, beliau berkata perjalanan pertandingan berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar.
“Setakat ini, tiada cabaran besar,” katanya ringkas.
Beliau berharap kejayaan ini menjadi pemangkin untuk atlet terus berlatih lebih gigih bagi menghadapi kejohanan akan datang, termasuk sukan negara pada masa hadapan.
“Kami berharap dapat terus berlatih dengan lebih keras dan mungkin pada 2028 akan ada lagi kejohanan peringkat kebangsaan,” tambahnya.
Majlis penutupan bagi acara boling tenpin berkenaan turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah, yang menyatakan sokongan terhadap pembangunan sukan inklusif serta menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Oleh Faizah Muzidi