
BINTULU: Program Rakan Sarawak Destiny Movers (RSDM) Bintulu 2026 berjaya membentuk golongan belia sebagai “first responder” kesihatan mental menerusi pendekatan berasaskan kemahiran dan pengalaman.
Menurut penganjur Faradale Media-M, bengkel Unmask The Mind to Thrive and Flourish itu menghimpunkan pelajar sekolah menengah, pelatih institusi latihan teknikal serta penuntut institusi pengajian tinggi awam di Bintulu.
“Program ini memberi pendekatan praktikal yang melangkaui kesedaran semata-mata kepada aplikasi harian. Dapatan awal menunjukkan 93 peratus peserta memahami bahawa kesihatan mental sama penting dengan kesihatan fizikal.
“Namun, masih terdapat jurang dari segi keterbukaan apabila 19 peratus berasa kurang selesa membincangkan isu ini secara berkumpulan, manakala 35 peratus masih neutral dalam mengenal pasti tanda tekanan emosi.
“Selepas intervensi dijalankan, sebanyak 78 peratus peserta mampu membezakan antara kesedihan biasa dan berpanjangan, selain 93 peratus memahami konsep kehilangan dengan lebih luas,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, program tersebut turut meningkatkan keupayaan peserta untuk bertindak sebagai penyokong awal dalam komuniti masing-masing.
“Kira-kira 70 peratus peserta lebih yakin membantu individu yang mengalami tekanan emosi, manakala 67 peratus bersedia mengaplikasikan model ALEC (Ask, Listen, Encourage, Check-in).
“Selain itu, 77 peratus menunjukkan pemahaman terhadap teknik kawalan emosi seperti pernafasan dan ‘grounding’.
“Pendekatan interaktif program ini juga berjaya mewujudkan persekitaran selamat apabila 94 peratus peserta menganggap suasana bengkel inklusif dan menghormati,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, impak program turut diterjemahkan melalui perubahan tingkah laku apabila 80 peratus peserta berhasrat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari, manakala 76 peratus terdorong untuk membina persekitaran yang lebih selamat dari segi psikologi.
Peserta turut berkongsi pengalaman positif sepanjang program, termasuk peningkatan keyakinan dalam mengurus emosi, memahami tekanan diri serta membantu rakan yang berdepan cabaran.
Bengkel RSDM Bintulu 2026 merupakan sebahagian usaha berterusan Faradale Media-M dalam memperkukuh kesejahteraan mental komuniti melalui pendidikan, intervensi awal serta kerjasama pelbagai institusi.