

KUCHING: Tiga kenderaan musnah dalam satu kejadian kebakaran di kawasan Chung Hua Middle School No.1, Jalan Pending, awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.58 pagi.
“Jentera tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian dengan jarak perjalanan sejauh empat kilometer. Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan tiga kenderaan iaitu dua van dan sebuah kereta.
“Sebuah van dan sebuah kereta didapati terbakar sepenuhnya manakala sebuah lagi van mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus akibat bahang api,” jelas Komander Operasi, PBK I Philip Dugat dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, anggota bomba bertindak pantas menggunakan satu aliran salur bantu mula bagi mengawal dan seterusnya memadam kebakaran.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada 3.08 pagi sebelum operasi ditamatkan pada 3.20 pagi selepas keadaan disahkan selamat,” jelasnya.
Tambahnya, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.