Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Usia hanyalah angka, semua tentang mentaliti dan hati – Azizulhasni
  • SUKAN

Usia hanyalah angka, semua tentang mentaliti dan hati – Azizulhasni

Utusan Sarawak 8 hours ago
‘THE Pocket Rocketman’ Azizulhasni Awang membuktikan usia bukan penghalang apabila menjuarai keirin lelaki di Velodrom Nasional Nilai. Foto Bernama

NILAI: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang membuktikan usia bukan penghalang untuk terus mencipta kejayaan selepas memenangi pingat emas keirin lelaki pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional, Nilai di sini, semalam.

Kejayaan tersebut menjadi simbol ketahanan luar biasa pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 berusia 38 tahun itu yang terus bersaing di peringkat tertinggi dunia sekali gus mematahkan persepsi faktor usia membataskan keupayaan atlet elit.

Lebih membanggakan, kejayaan itu hadir di depan penyokong sendiri dengan Azizulhasni yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ menampilkan kayuhan bertenaga untuk menewaskan pencabar lebih muda termasuk juara dunia Harrie Lavreysen dari Belanda dalam perlumbaan berintensiti tinggi itu.

Ketika ditemui selepas perlumbaan, Azizulhasni berharap kejayaan itu dapat menjadi pemangkin kepada atlet tempatan, khususnya pelapis sukan berbasikal trek untuk terus percaya kepada kemampuan diri dan berani mencabar batas kemampuan diri.

“Saya buktikan kepada atlet negara kita bahawa tak kira apa jua sukan, usia hanyalah angka. Ia tentang mentaliti dan hati. Kalau kita benar-benar mahu, apa sahaja kita boleh capai.

“Saya harap seluruh atlet berbasikal di Malaysia, tidak kira acara, dapat mengambil semangat ini. Mereka tahu saya belum berada pada tahap terbaik, tetapi saya mempunyai keyakinan tinggi dan mentaliti kemenangan. Saya buktikan bahawa saya masih boleh menang,” kata juara dunia keirin 2017 itu.

Pada perlumbaan semalam, Azizulhasni berada di kedudukan terakhir hampir sepanjang saingan sebelum melakukan pecutan di pusingan terakhir untuk menjadi yang pertama melintasi garisan penamat, menewaskan Lavreysen di tempat kedua dan wakil Trinidad dan Tobago, Nicholas Paul ketiga.

Kejayaan tersebut merupakan kemenangan kedua Azizulhasni dalam siri Piala Dunia musim ini selepas turut menjuarai acara sama di Perth, Australia pada Mac lepas.

Sementara itu, beliau berkata fokusnya kini terarah kepada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland bermula Julai ini dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun pada September.

“Saya tak ada fikir melepasi Sukan Asia. Sekarang ini Sukan Komanwel dan Sukan Asia dahulu dan selepas itu kita lihat bagaimana,” kata pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu.

Azizulhasni dijadual turun beraksi dalam acara pecut individu lelaki hari ini.- Bernama

Continue Reading

Previous: Grasshopper Cup: Sivasangari tewaskan Amina untuk layak ke perlawanan akhir
Next: Arteta bengang isu kad merah, Arsenal kembali rampas takhta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.