Mohamed Salah terhincut keluar akibat kecederaan dalam apa yang mungkin penampilan terakhirnya bersama Liverpool. Foto AFP
LIVERPOOL: Liverpool semakin hampir untuk mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan selepas menang 3-1 ke atas Crystal Palace sebentar tadi, namun mereka berharap Mohamed Salah tidak bermain perlawanan terakhirnya bersama kelab itu.
Salah terhincut-hincut keluar pada separuh masa kedua di Anfield sambil memegang hamstringnya, ketika kurang sebulan lagi berbaki dalam karier gemilangnya bersama The Reds.
Dua gol dalam tempoh lima minit sebelum rehat mengukuhkan cengkaman anak buah Arne Slot untuk menamatkan musim dalam kelompok lima teratas.
Rekod perpindahan Britain, Alexander Isak, menjaringkan gol pertamanya sejak kembali daripada kecederaan patah kaki apabila menyambar masuk bola muntah selepas percubaan awal Alexis Mac Allister disekat.
Andy Robertson kemudian menandakan antara penampilan terakhirnya di Anfield dengan penyudah kemas hasil serangan balas pantas Liverpool selepas penjaga gol pilihan ketiga, Freddie Woodman, menafikan peluang Palace untuk menyamakan kedudukan.
Salah jatuh ke tanah sebelum cukup sejam permainan sambil memegang bahagian belakang kaki kirinya dan diberikan tepukan gemuruh ketika dia digantikan oleh Jeremie Frimpong.
Daniel Munoz merapatkan jurang buat Palace walaupun Liverpool membantah berlaku kekasaran terhadap Woodman 19 minit sebelum tamat permainan.
Namun Florian Wirtz memastikan tiga mata buat Liverpool pada masa kecederaan dengan gol kelimanya dalam Liga Perdana Inggeris sejak perpindahan bernilai £100 juta dari Bayer Leverkusen.
Kemenangan itu melonjakkan Liverpool ke tangga keempat dan membuka kelebihan lapan mata ke atas Brighton di tempat keenam dengan hanya empat perlawanan berbaki musim ini. – AFP