Proses belajar tidak harus diukur dengan usia kerana pelajaran seharusnya berterusan sehingga helaan nafas terakhir. Justeru tiada istilah terlambat untuk mendapatkan ilmu, meski sekadar ilmu asas di dalam sesuatu perkara.
Inilah yang dilalui oleh sembilan pelajar Kelas Pendidikan Literisi Fungsian (PLF) dari Rumah Lajang Ak. Jemat di Sungai Engkala Poyut B dan Rumah Siggan Ak Bawin di Sungai Muam, dalam daerah Baram apabila berjaya menamatkan pendidikan dua tahun mereka.
Bergelar suri rumah, petani, peniaga dan sebagainya bukan halangan bagi mereka untuk memajukan diri dari buta huruf kepada celik huruf dan seterusnya mampu memenuhi sasaran 3M (membaca, menulis, mengira).
Sebagai meraikan usaha dan kegigihan mereka, satu Majlis Penyampaian Sijil Kelas Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) telah diadakan baru-baru ini.
Menurut Pegawai Pemaju Masyarakat PLF, Rita Sultan Abdullah, majlis diisi dengan acara seperti penyampaian hadiah kepada para peserta dan pemotongan kek sebagai simbolik kepada kejayaan para peserta dan dirasmikan oleh Pegawai Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Marudi, Hamisah Saadi.
Seperti sekolah biasa, para pelajar juga dinilai berdasarkan pencapaian masing-masing. Bagi Kelas PLF Rumah Lajang Ak. Jemas, pelajar terbaik adalah Roselind Kelinah, manakala bagi PLF Rumah Siggan Ak. Bawin, pemenangnya adalah Sendang Jayan.
Sementara itu, Kelas PLF atau lebih biasa dipanggil kelas dewasa merupakan kelolaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi memberi peluang kepada golongan dewasa, belia dan beliawanis serta remaja yang tercicir persekolahan untuk menjadi celik huruf dan celik angka.
Antara kriteria untuk peserta yang ingin menyertai kelas PLF adalah mereka pernah bersekolah tetapi tidak menamatkan sesi persekolahan atau tidak pernah ke sekolah langsung.
Had umur mereka yang layak adalah dari tujuh tahun sehingga 60 tahun tetapi tertakluk kepada daya penglihatan atau kemampuan peserta sendiri.
Peluang juga diberikan kepada golongan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri seperti tiada sijil lahir dan tiada kad pengenalan .
Kelas dilaksanakan selama tiga jam, sehari dalam seminggu dengan bertunjangkan konsep 3M (membaca, menulis, mengira), ditambah dengan skop wajib ajar iaitu aspek Kesihatan, Kesedaran Sivik, Ekonomi, Perlembagaan dan Kekeluargaan.
Pelaksanaan kelas dewasa ini bermatlamat mengurangkan kadar buta huruf dan seterusnya mencapai kadar sifar buta huruf di kalangan warga pedalaman negeri ini.
Dari segi sejarahnya, kelas dewasa ini dimulakan dalam tahun 1961 apabila Bahagian Kemajuan Masyarakat menubuhkan Kelas Pelajaran Dewasa yang bertujuan untuk membasmi buta huruf di Semenanjung Malaysia .
Selepas tahun 1970 ,kegiatan ini telah memberi tumpuan khusus di Sabah dan Sarawak yang mempunyai kadar buta huruf yang tinggi.
Lanjutan daripada Kelas Dewasa ini, Rancangan Pedoman Tugasan (RPT) diwujudkan dengan matlamat yang sama iaitu membasmi buta huruf melalui konsep 3M.
Oleh HAINI DARANI