KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengetengahkan motif songket Sarawak untuk pencalonan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Banga Bersatu (UNESCO).
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, usaha meningkatkan kualiti produk kraf Sarawak khususnya songket akan terus disokong.
“Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dengan kerjasama Persatuan Penggiat Seni dan Kebudayaan Malaysia Kuching menjalinkan kerjasama untuk memartabatkan warisan tradisional Sarawak ke persada antarabangsa.
“Pendekatan meningkatkan kualiti songket kita bergantung kepada bahannya, dan pihak NGO akan menggunakan benang dari negara Turki untuk menghasilkan rekaan yang berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sarawak Music and Fashion Galore 2020 (SAMFAG) di sebuah hotel terkemuka, malam kelmarin.
Tambahnya, pengiktirafan Unesco itu nanti akan memberi kesan positif kepada seni kraf di Sarawak.
“Selain Songket, Sarawak juga memiliki kain keringkam dan pua kumbu yang juga boleh dibangunkan dan diketengah ke peringkat dunia,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kualiti warisan seni budaya tidak mungkin tercapai tanpa pemuliharaan yang sistematik untuk mengekalkan keberadaan warisan seni budaya tersebut dalam masyarakat.
“Bagi mencapai tujuan tersebut, inventori termasuk dokumentasi secara saintifik arkib, audio, visual harus dilaksanakan kepada masyarakat atau kumpulan etnik yang mendukung elemen warisan seni budaya tersebut,” katanya.
Latihan mengikut metodologi Unesco perlu diterapkan dalam masyarakat.
Empat Modul Capacity Building telah pun distrukturkan oleh Sekretariat 2003 Unesco yang beribu pejabat di Paris.
“Melalui kerjasama Persatuan Penggiat Seni dan Kebudayaan
Malaysia Kuching (MACPA), Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak (MTAC) akan mengkaji pelaksanaan bengkel bagi mendidik masyarakat ke arah dokumentasi
dan inventori elemen warisan menurut kerangka Unesco,” jelasnya.
Dengan usaha bersepadu secara sistematik, mengikut tanda aras Unesco, beliau amat optimis bahawa warisan seni budaya Sarawak akan melonjak dan dikenali bukan sahaja dalam negaratetapi juga ke peringkat serantau dan global.
Ini akan melonjakkan sektor pelancongan Sarawak sebagai destinasi pilihan utama setiap pelancong yang ingin melihat keunikan dan keaslian warisan seni budaya Sarawak yang didukung oleh pelbagai pihak secara kolektif.
Oleh NUR AIN OTSMAN