
TELUPID: Hilang bahasa lenyaplah bangsa, bermaksud apabila sesuatu bahasa itu sudah tidak terpakai lagi, lambat-laun hilanglah bangsa tersebut, dan itulah kegusaran suku kaum Dumpas di daerah ini.
Bahasa mereka kian jarang dituturkan oleh komuniti sendiri. Malah, dapat dikatakan dalam kalangan generasi muda Dumpas bahasa nenek moyang mereka itu sudahpun berkubur.
Sejarah menentang penjajah, arus pemodenan, penggunaan bahasa Melayu di sekolah dan perkahwinan campur menyebabkan generasi muda etnik itu secara perlahan-lahan melupakan bahasa ibunda mereka, mengancam warisan nenek moyang.

Dumpas mempunyai identiti yang sangat unik. Tergolong sebagai subetnik Dusun, mereka beragama Islam dan kaya dengan warisan budaya – daripada pakaian tradisional “suaan” hinggalah seni tarian.
Sayangnya, kekayaan budaya mereka dibayangi krisis bahasa. Ketiadaan bahan rujukan bertulis menyukarkan usaha mewariskan bahasa tersebut kepada anak-anak. Tanpa rujukan rasmi, kosa kata asli Dumpas semakin mengecil, dan istilah sertaperkataan seperti ulun (orang), pait (ikan) dan amu (tidak) sudah hampir luput daripada perbualan harian.

Enggan membiarkan warisan ini lenyap, Persatuan Suku Kaum Dumpas bangkit mengambil tindakan. Melalui kerjasama erat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah, mereka kini giat menyiapkan Kamus Bahasa Dumpas-Bahasa Melayu.
Kamus ini bukan sekadar buku tetapi talian hayat penting untuk menyelamatkan jati diri mereka, sekiranya tidak mahu Dumpas sebagai satu etnik, turut terpadam daripada catatan sejarah peradaban manusia.

SEJARAH DAN KESEDARAN IDENTITI
Dikategorikan sebagai kumpulan minoriti dengan populasi berjumlah 5,000 hingga 10,000 orang di seluruh Sabah, etnik Dumpas memiliki akar sejarah yang bermula di daerah Telupid.
Petempatan awal komuniti ini secara tradisinya berpusat di sebuah kawasan dikenali Gana Dumpas. Dari kawasan lembah bersejarah inilah bermulanya susur galur sebuah masyarakat yang mewarisi kekayaan budaya, adat resam dan bahasanya yang tersendiri.
Desakan hidup dan dorongan mencari sumber pendapatan yang lebih baik membawa kepada penghijrahan komuniti ini ke kawasan hilir. Hari ini, etnik Dumpas berkembang dan membina petempatan di Kampung Perancangan, Bakong-Bakong, Biru-Biru, Tembidong-Bidong, Gana Jati, Terasat dan Nangoh.
Malah, jejak demografi mereka kini turut bertaburan melangkaui daerah asal hingga Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Tawau, Kalabakan, Kota Kinabalu dan Ranau.
Di sebalik taburan populasi semakin meluas, wujud krisis identiti menyelubungi mereka selama berdekad-dekad. Untuk satu tempoh yang agak panjang, ramai dalam kalangan masyarakat Dumpas memilih untuk menyembunyikan identiti sebenar mereka daripada pengetahuan umum.
Presiden Persatuan Suku Kaum Dumpas Abdul Wahab Abdul Gani berkata tindakan itu bersebab dan berakar daripada sejarah penjajahan British. Nenek moyang masyarakat Dumpas amat dikenali sebagai antara penyokong kuat perjuangan menentang penjajah.

“Kesetiaan pada perjuangan tersebut telah mendatangkan tekanan, menyebabkan sebahagian besar penduduk berasa terancam dan takut untuk mendedahkan susur galur mereka,” katanya kepada Bernama.
Akibat sejarah penjajah itu, generasi demi generasi mula melepaskan pegangan pada akar umbi mereka secara perlahan-lahan. Apabila nama etnik terpaksa disembunyikan demi keselamatan dan kelangsungan hidup, secara automatik bahasa, adat dan budaya turut dipinggirkan daripada amalan harian.
Kesannya cukup mendalam apabila wujud jurang generasi, dengan ramai anak-anak mula membesar tanpa mengenali keaslian warisan milik nenek moyang mereka sendiri.

ANCAMAN KEPUPUSAN
Ancaman terbesar yang dikenal pasti juga berpunca daripada kelompongan penggunaan bahasa ibunda dalam kalangan generasi pelapis. Perubahan gaya hidup dan sistem persekolahan menjadi antara penyumbang utama kepada senario itu.
Di sekolah, pendedahan harian yang sememangnya tertumpu pada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, membuatkan anak-anak etnik Dumpas lebih fasih, mudah dan selesa berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan berbanding bahasa warisan nenek moyang mereka.
Sama sekali tidak menyalahkan sistem pendidikan atau dasar kerajaan, Timbalan Presiden Persatuan Suku Kaum Dumpas Bidin Angau melihat perkara itu sebagai sebahagian daripada pergerakan arus masa yang memberikan cabaran dalam mempertahankan identiti mereka.
Menurutnya asimilasi sosial melalui fenomena perkahwinan campur turut memainkan peranan besar dalam menghakis bahasa, apabila masyarakat Dumpas berkahwin dengan individu daripada suku kaum berbeza dan bahasa Melayu automatik diangkat sebagai lingua franca dalam keluarga.
“Situasi genting ini diancam lagi dengan satu kelemahan kritikal, iaitu ketiadaan sebarang bahan rujukan rasmi secara bertulis. Selama ini, kelangsungan bahasa Dumpas hanya dipertahankan melalui tradisi lisan, diwarisi dari mulut ke mulut.
“Tanpa dokumen rujukan rasmi yang kukuh, tahap kesedaran serta inisiatif generasi muda untuk mempelajari dan menguasai bahasa ibunda jatuh ke tahap yang amat rendah,” katanya.
Kesan daripada kelompongan rujukan ini sebenarnya bukan hanya menjejaskan golongan muda, malah turut memberi cabaran besar kepada generasi lebih berusia dalam menguasai bahasa itu.
“Apabila tiada tempat untuk merujuk kesahihan struktur kata, banyak perbendaharaan kata klasik perlahan-lahan luput daripada ingatan kolektif,” katanya.

KAMUS DUMPAS
Sementara itu, mengimbas permulaan usaha mereka memulihara bahasa Dumpas, Abdul Wahab berkata langkah bermula dengan penubuhan Persatuan Suku Kaum Dumpas pada 31 Mei 2015 yang seterusnya menjadi ruang rasmi untuk menyatukan kembali komuniti Dumpas dari seluruh Sabah.
“Sejak pertubuhan itu digerakkan, kesedaran untuk mengangkat semula identiti dan warisan Dumpas semakin kukuh, terutamanya dalam kalangan generasi baharu. Persatuan ini menjadi nadi penggerak utama kepada usaha menyelamatkan bahasa Dumpas,” katanya.
Bermula dengan pelawaan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah untuk komuniti ini menyertai pesta etnik di Sandakan, persatuan mengorak langkah pertama menerbitkan buku inventori etnik dan kosa kata asas bertulis dengan sokongan dan pembiayaan lembaga berkenaan.
Abdul Wahab berkata inisiatif awal itu kemudiannya membuahkan hasil yang jauh lebih besar susulan kunjungan hormat persatuan ke DBP Sabah, yang disusuli lawatan balas DBP Sabah bersama-sama dengan 10 pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Kota Kinabalu.
“Kajian komprehensif kumpulan pelajar ini yang merangkumi aspek makanan, pakaian, ekonomi dan bahasa telah meyakinkan pihak DBP bahawa warisan Dumpas mempunyai elemen kukuh yang wajar didokumentasikan, lantas membawa kepada tawaran projek pembikinan kamus.
“Bermula penghujung 2020, projek mega pembikinan Kamus Bahasa Dumpas-Bahasa Melayu mula digerakkan secara rasmi,” katanya, menambah naskhah kini di fasa akhir.
Dengan pencapaian sekitar 90 peratus siap dan dijangka diterbitkan pada tahun ini, kamus dwibahasa bersejarah ini menghimpunkan sekitar 5,000 perkataan, meliputi terjemahan silang antara bahasa Dumpas ke bahasa Melayu dan sebaliknya.
Bidin yang mempengerusikan jawatankuasa pembikinan kamus itu, berkata beliau bersama-sama dengan tiga yang lain dalam jawatankuasa tersebut berdepan kepayahan kerana mereka sendiri terhad dari segi penguasaan bahasa.
Katanya mereka terpaksa bergantung harap pada ingatan dan maklumat daripada penduduk kampung. Demi kelangsungan bangsa, kumpulan kecil ini sanggup mengorbankan masa rehat, bekerja keras setiap malam selama setahun, semata-mata untuk menyelesaikan penterjemahan perkataan dan istilah.
“Secara keseluruhannya, kerja-kerja asas penyediaan kamus ini memakan masa selama empat tahun di peringkat kampung dengan bimbingan berterusan pegawai DBP yang kerap turun padang memberikan panduan teknikal.
“Memasuki fasa kemuncak September 2025, empat wakil persatuan hadir di DBP Kota Kinabalu untuk sesi penyuntingan rasmi. DBP mengambil alih tugas penyuntingan sepenuhnya mengikut piawaian, manakala wakil Dumpas memastikan serta mengesahkan kesahihan setiap patah perkataan,” katanya.

TITIK CAHAYA
Walaupun kamus itu masih di peringkat penyuntingan akhir, gelombang kesedaran yang dicetuskannya telah mula membasahi akar umbi masyarakat. Satu perubahan landskap sosial yang sangat positif sedang berlaku, menandakan munculnya titik cahaya harapan bagi kelangsungan lidah ibunda ini.
Menurut Bidin, Kampung Tembidong-Bidong dan Kampung Biru-Biru kini diangkat sebagai perintis kebangkitan semula bahasa Dumpas dengan penduduk menerapkan secara aktif penggunaan bahasa itu dalam perbualan dan kehidupan harian mereka.
“Suasana yang suatu ketika dahulu dirasakan mustahil kini menjadi realiti manis apabila kedengaran suara kanak-kanak dan generasi muda di kampung berkenaan mula bertutur dalam bahasa nenek moyang kami dengan baik dan yakin,” katanya.
Namun, usaha menghidupkan semula “jiwa” bangsa ini tidak terhenti pada penerbitan kamus semata-mata. Komitmen Persatuan Suku Kaum Dumpas terus diperluas dengan memanfaatkan jalinan kerjasama kukuh dengan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
Menerusi sinergi ini, penerbitan buku inventori budaya dan daftar kosa kata etnik Dumpas turut diusahakan selari dengan pembikinan kamus. Dokumentasi menyeluruh ini berfungsi sebagai pelengkap kepada usaha melestarikan profil identiti unik mereka agar tidak pudar dihakis pusingan zaman.
Tuntasnya, penerbitan Kamus Bahasa Dumpas-Bahasa Melayu bukanlah sekadar himpunan 5,000 patah perkataan yang dicetak di atas helaian kertas, tetapi sebuah monumen dan manifestasi kukuh bahawa prinsip bahasa mencerminkan jiwa bangsa dihayati sepenuhnya oleh masyarakat Dumpas.- Bernama