KOTA SAMARAHAN: Para pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak bakal menikmati manfaat hasil daripada kerjasama strategik institusi tersebut bersama Stoma Sdn Bhd.
Pengurus Besar Stoma Sdn. Bhd., Muhd Firdaus Abdullah berkata kolaborasi ini akan membantu dalam meningkatkan kualiti dan daya saing pasaran para pelajar UiTM setelah mereka tamat pengajian nanti.
“Dengan termeterainya perjanjian ini, ia menunjukkan sokongan yang kuat terhadap usaha UiTM untuk mengembangkan dan memperkukuhkan kemampuan kejuruteraan inovatif.
“Selain itu, ia juga akan memanfaatkan kemampuan kita untuk membuat dan mengembangkan penyelesaian kejuruteraan inovatif di Sarawak dan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UiTM Sarawak dan Stoma di UiTM Kota Samarahan Kampus 2, di sini, semalam.
Menurutnya, MoA ini adalah batu loncatan ke depan untuk mewujudkan masa depan yang lebih cerah antara UiTM dan Stoma, terutamanya dalam pembangunan kejuruteraan inovatif di Sarawak dan Malaysia.
“Kami mempunyai keinginan dan visi yang jelas dalam meningkatkan pengetahuan teknologi khususnya berkenaan kepakaran dalam pengurusan alam sekitar.
“Terdapat banyak projek yang mempunyai potensi yang tinggi untuk dilaksanakan pada masa hadapan, seperti sistem elektrik yang dihasilkan sendiri serta menghasilkan loji rawatan air minum untuk kawasan luar bandar di Sarawak.
“Tidak terhenti di situ, melalui MoA ini, kami juga akan menekankan projek pengolahan air limbah, sistem pembentungan regenerasi dan sistem pembuangan air sisa kilang sawit,” jelasnya lagi.
Mengulas mengenai sistem Loji Rawatan Biologi (BTP) yang diperkenalkan oleh Stoma, Firdaus berkata, loji ini membolehkan air dirawat melalui tiga fasa, iaitu primer, sekunder dan tersier.
Tambahnya, kerjasama ini dilihat akan dapat merealisasikan impian dalam mencapai perubahan perkembangan teknologi di Malaysia, khususnya di Sarawak ini.
Oleh AKMAL ADIB YUSUP