BINTULU: Kaum Dayak Iban sememangnya sinonim dengan pembuatan kraf tangan terutamanya yang berasaskan hutan.
Daripada keunikan bahan hingga ke corak tradisional yang jelas mempamerkan identiti bangsa tersebut menambahkan nilai lagi sesuatu produk itu.
Ciri-cirinya yang tersendiri itulah menjadi kebanggaan bagi masyarakat Iban sehingga acap kal menjadi pilihan utama orang luar untuk dijadikan sebagai buah tangan.
Menti Bujal, 66, seorang wanita berbangsa Iban dan tinggal di Rumah Antau Anak Nabau di Sungai Sekabai, Ulu Sebauh di Bintulu, merupakan salah seorang yang masih lagi menghasilkan kraf tangan berasaskan ‘we’ atau lebih dikenali sebagai ‘rotan’.
Bagi masyarakat setempat yang tinggal di kawasan Sebauh, rotan kebiasaannya disebut sebagai we dalam bahasa tempatannya.
Ketika ditemui Utusan Sarawak, jelas terpancar keterujaan Menti dalam menceritakan kisahnya berkenaan pembuatan krat tangan rotan seperti bakul, ‘lanji’, ‘sintung’, dan sebagainya.
“Sebenarnya, saya memulakan pembuatan kraf tangan ini selepas Biro Wanita rumah panjang mengadakan satu program yang bertujuan untuk menambahkan dan mengasahkan lagi kemahiran kraf tangan.
“Setakat ini, saya tidak menjual sangat produk-produk yang ada sebab saya kurang tahu bagaimana untuk melakukannya.
“Jadi, apa yang saya lakukan adalah dengan meletakkan semua produk saya di ‘ruai’ hadapan bilik saya semasa ada keramaian ataupun program yang melibatkan orang luar,” katanya.
Menti memberitahu, proses pembuatannya mengambil masa antara dua hingga tiga mingga bahkan boleh sampai sebulan, bergantung kepada corak dan saiz sesuatu produk.
“Kalau macam lanji, harga agak mahal berbanding yang lain walaupun kecil kerana coraknya susah dibuat dan mengambil masa yang lama,” jelasnya.
Sementara itu, kata Menti, bahan utama yang digunakan sudah semestinya adalah rotan di mana dia seterusnya mendedahkan bahawa rotan tersebut diambil sendiri di hutan.
“Selalunya kami (penduduk rumah panjang) mengambil we ini di hutan bersama-sama.
“Selepas itu, kami memproseskan we sebelum dapat dibuat apa-apa seperti bakul misalnya, tapi kalau macam saya, saya selalu buat ini apabila ada kelapangan,” ujarnya.
Difahamkan, rotan atau we terbahagi kepada beberapa jenis dan antaranya ialah We Sega, We Batu, We Lia dan lain-lain lagi.
Menurut Menti, perbezaan we-we tersebut dapat dikenal pasti melalui warna.
Harga produk yang dijual oleh Menti adalah berpatutan iaitu antara RM40 hingga RM70 manakala tikar rotan pula boleh mencecah RM400, bergantung pada saiz.
Oleh CAROLYN UTIH